KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada Rabu menyarankan agar satu Pelan Induk Peralihan (Pengislahan) Tenaga Kerja Nasional digubal dengan tujuan utamanya bagi mengurangkan kebergantungan negara ini kepada sumber tenaga buruh asing. “Sebaik-baiknya inisiatif ini diterajui oleh menteri yang mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri,” kata Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad dalam satu persidangan media di sini. MPM berpendapat, pelan ini wajar digubal segera untuk menyelesaikan kemelut kebergantungan negara kepada pekerja asing, katanya. Menurut beliau lagi, tentangan pelbagai pihak bukan sekadar tentang perebutan peluang kerja di antara warga tempatan dengan warga asing, malahan kebanjiran pendatang asing ini turut menimbulkan banyak implikasi negatif, terutama masalah sosial, pengaliran keluar wang negara, masalah keselamatan, pertahanan, kesihatan dan lain-lain lagi. Sejak pengumuman oleh kerajaan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan Bangladesh bagi membawa masuk sehingga 1.5 juta pekerja dari negara berkenaan ke negara ini, berbagai reaksi dilontarkan dan diperdebatkan oleh pelbagai pihak. Kebanyakannya mempertikaikan hasrat itu. "Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengikuti perkembangan ini dengan teliti dan mendapati kemelut ini berpunca dari ketiadaan tindakan secara terancang di pihak kerajaan untuk menyelesaikan kemelut ini dalam jangka masa tertentu. Ia dilihat sebagai permasalahan yang tiada kesudahan. "Persoalan bahawa kebanyakan kerja itu diklasifikasikan sebagai kotor, bahaya & sukar (dirujuk sebagai pekerjaan ‘3D’), maka ia ditolak oleh tenaga kerja tempatan, tidak berapa tepat. Tohmahan mengatakan golongan belia tak berminat kerja-kerja ini juga tidak tepat dan ia hanyalah kenyataan tanpa kajian yang komprehensif atau dengan fakta sahih bahawa belia tempatan tidak berminat kerja-kerja ini. "MPM ingin merujuk satu contoh pekerjaan yang sehingga awal tahun 1970-an tidak langsung diminati oleh semua orang. Pekerjaan yang dimaksudkan ialah kutipan najis (dirujuk sebagai night soil). Tak sampai 30 tahun kemudian tidak lagi kedengaran pekerjaan itu kerana sistem kutipan najis dan kumbahan telah melalui proses mekanisasi dan automasi yang amat jauh berbeza sehinggakan mereka yang bekerja di IWK tidak lagi disamakan dengan mereka yang pernah digaji oleh Pihak Berkuasa Tempatan memikul tong najis di waktu malam mengutip sisa-sisa najis manusia. "Tiada siapa pun yang bekerja di IWK kini menganggap ia sesuatu pekerjaan yang kotor, seperti yang pernah dilakukan sehingga ke awal tahun 1970-an. Pekerjaan mengutip sisa najis dan kumbahan yang suatu ketika dahulu dianggap kotor tetapi kini tidak lagi dikendalikan secara manual seperti mana dulu, maka ia tidak menyebabkan tenaga kerja tempatan menolak untuk bekerja di IWK, " ujarnya lagi. Menurut MPM, persoalan yang dihadapi kini bukan kerana kerja-kerja itu bahaya, kotor atau sukar tetapi ia masih wujud dalam keadaan ‘3D’ disebabkan tiada pihak yang komited untuk mengislahkannya, sepertimana pengislahan sistem kumbahan sepertimana yang disebut di atas. Jelas Dr Hasan, di ladang kelapa sawit misalnya, di antara kerja-kerja yang memerlukan ramai pekerja asing ialah tuaian buah sawit. "Malangnya, MPOB gagal mencari pendekatan mekanisasi atau automasi yang lebih praktikal dan ekonomikal yang boleh mengurangkan keperluan kepada tenaga kerja buruh asing yang ramai bagi tujuan itu. Jika pun ada kajian seumpama itu barangkali tidak mendapat sambutan kerana tiada usaha membina ekosistem yang lengkap bagaimana proses mekanisasi tuaian buah sawit dapat dilakukan secara menyeluruh misalnya ada skim pembiayaan khas untuk mana-mana syarikat perladangan yang hendak memekanisasikan kerja-kerja tuaian buah sawit. "Begitu juga di sektor pengilangan, pembuatan dan pembinaan. Barangkali kajian perbandingan boleh dibuat bagaimana negara-nengara perindustrian menyelesaikan masalah tenaga buruh bagi kerja-kerja ‘3D’ ini di negara mereka. Adakah negara-negara ini juga berdepan dengan masalah kebergantungan kepada buruh asing sama seperti yang kita hadapi, atau lebih kritikal lagi atau sebaliknya. Jika sebaliknya, apa pendekatan yang mereka ambil bagi mengatasi masaalah ini, yang kita boleh teladani?" tanya beliau. MPM juga mengakui tidak semua kerja ‘3D’ ini boleh dimekanisasikan atau diautomasikan tetapi pada masa yang sama menegaskan, setidak-tidaknya tentulah ada sebahagian darinya yang boleh diislahkan kebergantungannya kepada mekanisasi atau automasi. "Persoalannya adakah ia hendak dilaksanakan atau tidak. Jika, ia, wajiblah ada satu pelan induk yang komprehensif yang melibatkan banyak pihak untuk dilaksanakan. "Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) pernah menggubal satu Pelan Induk Perindustrian dan yang terakhir iaitu IMP3 yang dilancarkan dalam RMK-9. Tiba masanya kandungan Pelan itu yang berkaitan dengan tenaga buruh dan pendekatan mekanisasi atau automasi dikaji semula secara berasingan bagi memfokaskan kepada isu ini. "Maka dengan ini MPM ingin menyarankan kepada Kerajaan dan sebaik-baiknya inisiatif ini diterajui oleh Menteri di EPU, untuk menggubal satu Pelan Induk Peralihan (Pengislahan) Tenaga Kerja Nasional. Tujuan utamanya ialah bagi mengurangkan kebergantungan negara ini kepada sumber tenaga buruh asing," ujar Dr Hasan.