suria

Merungut: Rakyat Malaysia Selesa, Sukar Beza Keperluan Atau Kehendak

Mohd Yusof Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Segelintir rakyat Malaysia dilihat masih selesa dengan gaya hidup sedia ada walaupun berdepan dengan isu kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, mereka yang pengguna juga masih tidak dapat membezakan antara keperluan dan kehendak.

“Kenaikan kos sara hidup semakin dirasai terutama sejak tahun lalu tetapi kebanyakannya masih tidak mengubah corak perbelanjaan.

“Hakikatnya, mereka tidak dapat mengubahsuai gaya hidup mereka kerana sudah selesa seperti sebelum ini,” katanya kepada mStar Online.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad pada Khamis bahawa rakyat Malaysia hanya tahu merungut mengenai pelbagai isu melibatkan peningkatan kos sara hidup kebelakangan ini.

Mohd Yusof yang sependapat dengan Alias berkata, rakyat Malaysia tidak seperti rakyat di kebanyakan negara maju lain yang sedia mengubah corak perbelanjaan apabila dilanda kenaikan kos sara hidup.

“Sepatutnya mereka ubah suai cara hidup mengikut keadaan semasa, bukannya keadaan semasa perlu mengikut cara hidup mereka,” katanya.

Tambahnya, pengguna hanya tahu mengurangkan perbelanjaan berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana mengetahui cukai berkenaan mempunyai kategori sebagai pilihan - dikenakan cukai, dikecualikan cukai dan kadar sifar. 

“GST pun lebih kepada keperluan mereka. Jadi jangan setakat berkaitan GST, sepatutnya melibatkan semua perbelanjaan termasuk kehendak mereka. 

“Patutnya kecilkan atau kurangkan mana-mana perbelanjaan terutama kehendak kalau kos semakin meningkat. Jangan terlalu selesa dengan gaya hidup sekarang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kesedaran merupakan langkah terbaik bagi mengubah mentaliti mereka dalam aspek kepenggunaan seperti bengkel kos sara hidup yang dilaksanakan gabungan itu yang digerakkan ke seluruh negara menyasarkan masyarakat bandar dan luar bandar.

mStar Online pada Khamis melaporkan hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menggambarkan realiti kehidupan rakyat negara ini – tahap kesedaran pengguna tempatan adalah 58 peratus, manakala kuasa pasaran pengguna lebih rendah iaitu 51 peratus.

Perkara itu disampaikan Alias berdasarkan hasil kajian itu, dalam apa jua situasi, akhirnya kuasa pengguna yang akan menentukan keadaan pasaran.

“Jadi pengguna perlu bijak berbelanja, walaupun ada yang merungut tetapi masih ada yang terus dengan gaya hidup yang tdak mencerminkan apa yang mereka sering rungutkan.

“Jalan terbaik adalah rakyat negara ini menggunakan hak bagi memastikan kuasa pasaran masih bergantung kepada mereka,” ujar Alias.

Mohd Yusof Abdul Rahman, Fomca

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain