SEPANG: Seorang konsultan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan berhubung dakwaan menghina Perdana Menteri dengan kata-kata kesat di Facebook berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA). Syarul Ema Rena Abu Samah, 35, yang menggunakan nama 'Ratu Naga' di Facebook dituduh menghantar komen menghina pada 6 Oktober tahun lalu mengkritik Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli-ahli Parlimen yang bersetuju untuk menandatangani perjanjian TPPA. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama. Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu Secara sedar dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Hakim Aizatul Akmal Maharani membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula.