PETALING JAYA: Dakwaan bersifat 'kitar semula' Wall Street Journal (WSJ) terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan adanya cubaan untuk menyingkirkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, serangan berterusan terhadap Najib juga menunjukkan adanya campur tangan pihak asing dalam urusan pentadbiran negara ini. "Nampaknya pihak terlibat begitu terdesak hinggakan terpaksa melakukan serangan peribadi terhadap Najib," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. Azalina merujuk temubual ABC News Australia dengan pengarang WSJ berpangkalan di Hong Kong, Ken Brown yang disiarkan 12 Februari lalu. Brown, pengarang kewangan yang bertanggungjawab isu kewangan dan pasaran Asia menyangkal penemuan Pejabat Peguam Negara bahawa wang RM2.6 bilion itu dimasukkan ke akaun peribadi Najib itu didermakan kerabat diraja Arab Saudi. Dakwanya, laporan WSJ menunjukkan dana itu diperoleh daripada beberapa syarikat dan akaun bank yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Menolak kenyataan Brown, kata Azalina ia bertentangan dengan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Peguam Negara yang memutuskan bahawa dana itu tidak datang daripada 1MDB. “Malah Pejabat Peguam Negara Switzerland juga telah mengesahkan Najib bukan antara individu yang disiasat,” katanya. Azalina berkata, semua pihak termasuk WSJ tidak seharusnya memanjangkan ini berkenaan kerana penjelasan telah dilakukan terutamanya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.