suria

Dua Wakil Rakyat PKR Dipecat Daripada GLC Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Dua wakil rakyat PKR Pulau Pinang tidak mengundi usul berkaitan penambakan tanah yang dibentangkan Umno, November lalu ditamatkan khidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri berkenaan.

Ketua Whip PKR Pulau Pinang, Ong Chin Wen berkata, dia  dipecat daripada jawatan pengarahnya di Penang Invest and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Turut menerima nasib sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng yang ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Chin Wen yang juga Adun Bukit Tengah dan Kah Peng adalah antara lima pemimpin PKR yang tidak mengundi terhadap usul untuk diadakan pendengaran awam bagi penambakan tanah dan penangguhan semua plan penambakan sehingga kajian impak laut, alam sekitar dan sosial dilaksanakan.

Tiga lagi pemimpin PKR adalah Dr Norlela Ariffin (Penanti), Dr T. Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengetuai dua GLC bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan memecat wakil rakyat berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain