suria

Chef Anthony Bourdain Kepingin Laksa Sarawak

PETALING JAYA: Laksa Sarawak tersenarai antara 10 menu yang ingin diketengahkan chef terkemuka dunia, Anthony Bourdain di pasar makanannya di New York.

Chef yang juga personaliti televisyen berusia 53 tahun itu menamakan hidangan Malaysia itu bersama sembilan menu lain menerusi The List App.

Daging dada lembu dan soup udang wantan dari Hong Kong, ikan kod dan sotong bakar (Mexico), Bun Thai dari Vietnam, nasi periuk tanah Geylang, Singapura turut tersenarai.

"Hidangan sepanjang perjalanan ke pelbagai negara yang saya mahukan untuk acara di New York. Ini adalah antara menunya yang disediakan peniaga asal," tulis beliau.

Bourdain yang pernah ke Sarawak pada 2005 menggemari hidangan itu terutama dari Choon Hui Kopitiam di Kuching.



Beliau pertama kali berkunjung ke restoran itu 10 tahun lalu untuk merakamkan program Travel Channel's "No Reservations" dan seterusnya pada Mei tahun lalu untuk rancangan CNN, "Parts Unknown".

Pada kunjungan terakhirnya, beliau memuatnaik di Instagram gambar laksa Sarawak dan ia mendapat 46,000 like.

Dilaporkan, Bourdain mengumumkan mengenai rancangan untuk mewujudkan pasar makanan ada Januari 2014.



Beliau berhasrat mengumpul pasukan chef dan juga masakan jalanan dan legenda penjaja di seluruh dunia.

Acara itu dijangka diadakan di Pier 57, 15th Street di tengah bandaraya New York.

"Teringatkan pasar malam di Asia, makan dan minum pada tengah malam," katanya.

Pasar Bourdain yang dijangka siap pada suku kedua 2017 akan menampilkan 100 peniaga dan vendor makanan borong di New York, bandar lain di Amerika dan juga luar negara.

Artikel Lain