GEORGE TOWN: Kerajaan digesa mengkaji semula keputusan untuk membeku pengambilan pekerja asing kerana ia boleh menggugat daya saing negara. Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Datuk Seri Choot Ewe Seng berkata, sektor yang paling terkesan akibat keputusan itu adalah pembinaan, pengeluaran dan perkhidmatan yang bergantung kepada buruh asing. Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan bagaimana keputusan terbaharu ini boleh memberi impak terhadap industri terlibat. Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Bahan Binaan Malaysia Pulau Pinang, Datuk Lim Kai Seng pula berkata, lebih sejuta pekerja asing di negara ini di mana 30,000 daripadanya bekerja di negeri berkenaan dengan pendapatan antara RM1,500 dan RM2,500 sebulan. "Apa akan terjadi kepada mereka jika permit pekerjaan ditamatkan. Apakah mereka akan dihantar pulang ke negara asal atau permit itu akan diperbaharui? "Keputusan terbaharu ini tidak jelas. Jika mereka tidak boleh memperbaharui permit dan dihantar pulang, ia tentunya akan memusnahkan sektor pembinaan," katanya. Pengerusi Pemaju Perumahan dan Hartanah Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan turut menyampaikan pandangannya dan menganggap keputusan membeku pengambilan buruh asing ia terlalu drastik. "Kita terlalu bergantung kepada pekerja asing dan sebarang keputusan mendadak berkaitan dasar atau penguatkuasaan akan menimbulkan masalah," katanya. Di Johor Baru, Presiden Persatuan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Chen Kim Hock berkata, keputusan kerajaan itu akan menyebabkan majikan terpaksa menyediakan peruntukan tambahan untuk menggaji rakyat tempatan bagi menggantikan buruh asing. Katanya, sektor pembinaan menggunakan pekerja asing kerana rakyat tempatan menuntut gaji yang terlalu tinggi untuk bekerja di tapak projek pembangunan. "Jika tiada lagi pekerja asing, majikan tiada pilihan tetapi memilih rakyat tempatan dengan memperuntukan kos tambahan," katanya.