KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) akan mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung keputusan penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara sumber termasuk Bangladesh. Dalam satu kenyataan pada Jumaat, FMM menegaskan, para pengilang sentiasa mengutamakan pekerja tempatan bagi pengambilan pekerja sebagaimana ditetapkan kerajaan sebelum membuat permohonan membawa masuk pekerja asing. Sehubungan itu, syarikat yang mendapat kelulusan untuk membawa masuk pekerja asing sudah membuktikan kewajaran mereka mendapatkan pekerja tambahan yang gagal dipenuhi oleh pekerja tempatan. "Kami sendiri tidak jelas berapa lamakah tempoh penangguhan ini akan berkuatkuasa. "Malah ada majikan yang mendapat kelulusan membawa masuk pekerja asing, termasuk menunggu kedatangan pekerja (asing) yang sudahpun dalam perjalanan ke Malaysia," katanya. FMM turut berharap isu levi dan pengambilan pekerja asing ini dapat diselesaikan sebaik mungkin bagi mengelak sebarang impak buruk terhadap ekonomi negara. Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan kerajaan menangguhkan pengambilan pekerja asing dari semua negara sehingga kerajaan berpuas hati terhadap keperluan sebenar tenaga kerja oleh pihak industri. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot pula menjelaskan, memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Bangladesh di Dhaka, semalam, langsung tidak menetapkan sebarang angka pekerja yang akan dibawa masuk dan dakwaan ia melibatkan 1.5 juta pekerja Bangladesh adalah tidak benar.