suria

Najib Umpama Kucing Sembilan Nyawa

Ron Liamsi bersama buku yang dihasilkannya sempena ulang tahun ke-40 penglibatan Najib dalam politik.

KUALA LUMPUR: Kecekalan Datuk Seri Najib Tun Razak berhadapan pelbagai cabaran sepanjang tempoh penglibatannya dalam dunia politik umpama kucing dengan sembilan nyawa.

Semangat yang tidak pernah luntur itu ditampilkan menerusi catatan buku berjudul, If A Cat Had Nine Lives...The Legacy of Najib Razak hasil tulisan Ron Liamsi atau nama sebenarnya, Noor Ismail sempena ulang tahun ke 40 Perdana Menteri dalam politik.

Ron Liamsi berkata, mitos kucing mempunyai sembilan nyawa mengingatkan beliau kepada Najib yang mampu mengharungi dugaan yang dihadapinya.

"Kucing walaupun jatuh dari aras yang tinggi tetapi ia masih boleh mendarat dengan empat kakinya .

"Ia ada naluri. Apabila saya lihat kartun kucing di Internet, saya teringatkan Najib," katanya.

Menerusi buku itu, penceritaan dilakukan menggunakan teknik anthropomorphisme di mana jasa seseorang itu ditampilkan menggunakan watak bukan manusia.

Najib juga dikenali sebagai seorang yang sukakan kucing.

Ron juga memberi tumpuan kepada sembilan nyawa kucing  dengan mengetengahkan tempoh khidmat Najib bermula 2014 dan 2015 dengan terperinci pada bab kedua.

Nyawa pertama kucing yang disebut adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menjadi punca utama masalah Perdana Menteri.

"Bagaimanapun, Wanita Pertama negara melaksanakan peranan dan menyalurkan sumbangannya untuk kebajikan dan pendidikan kanak-kanak berbilang bangsa menerusi projek Permata melibatkan 600 pusat Permata di seluruh negara," kata Ron.

Naskhah itu juga membincangkan bagaimana Najib melalui tempoh sukar, antaranya melibatkan isu kontroversi 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion.

Buku berkenaan dilancarkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.





Artikel Sebelum

Artikel Lain