SANDAKAN: Bilangan anak Gajah Borneo yang diselamatkan meningkat dari semasa ke semasa dan keadaan itu amat membimbangkan, kata Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) William Baya. Beliau berkata dalam tempoh tiga tahun lepas, anak-anak gajah itu dijumpai berkeliaran di kawasan kampung dan ladang kelapa sawit yang terletak di pinggir hutan simpan, tanpa ibu mahupun sekumpulan haiwan itu. Berikutan itu, katanya Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) perlu bekerja sepenuh masa bagi menyelamat dan menjadi 'ibu tumpang' bagi menjaga anak-anak gajah tersebut. "Saya amat risau dengan apa terjadi kepada populasi Gajah Borneo. Sepanjang tiga tahun lepas, kami menyelamatkan 15 ekor anak gajah, kesemuanya di bawah usia setahun dan anak-anak gajah ini dijumpai berkeliaran sendirian," katanya menerusi kenyataan. Beliau berkata bilangan itu bertambah setiap tahun dan pada 2013, dua ekor anak gajah diselamatkan, tiga ekor pada tahun berikutnya, dan pada tahun lepas, sebanyak lapan ekor anak gajah diselamatkan. "Pada bulan ini sahaja, dua ekor anak gajah diselamatkan," katanya. William berkata kesemua anak gajah itu diselamatkan di kawasan Pantai Timur Sabah seperti di Tawau, Lahad Datu, Telupid, Kinabatangan dan Sandakan, dengan kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan utama 'Konflik Manusia-Gajah'. Dengan peningkatan jumlah kehilangan dan fragmentasi habitat gajah, laporan mengenai Konflik Manusia-Gajah meningkat sehingga ke tahap di mana usaha yang dilakukan JHLS bagi mengendalikan kes ini menjadi amat mencabar, katanya. Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun lepas, kerja translokasi gajah dari kawasan konflik ke kawasan lain membuahkan hasil, namun kini ia bukan lagi merupakan jalan penyelesaian kepada masalah Konflik Manusia-Gajah. Katanya keadaan itu disebabkan gajah yang ditranslokasi mencetuskan konflik baru di kawasan ia dipindahkan, atau gajah-gajah bermasalah itu akan kembali ke kawasan ia mula ditangkap sebelum dipindahkan. Katanya keadaan itu membangkitkan kemarahan penduduk setempat, dan mereka mengambil tindakan sendiri seperti menembak dan meracun kumpulan haiwan tersebut di kawasan konflik. William berkata cabaran lain turut dihadapi pihaknya adalah dalam aspek penjagaan anak-anak gajah yang diselamatkan itu. "Kami mempunyai sepasukan veterinar dan renjer daripada WRU yang bekerja keras sepenuh masa untuk menjaga, memberi makan, dan memainkan peranan sebagai 'ibu tumpang' bagi anak gajah malang ini. "Kos pembelian susu formula adalah sekitar RM200 hingga RM250 sehari bagi seekor anak gajah," katanya. Beliau berkata ia mencatat jumlah yang besar bagi perbelanjaan bulanan sebanyak RM40,000 hingga RM45,000 atau lebih RM500,000 setahun, hanya untuk perbelanjaan penyusuan gajah. Katanya kos itu tidak termasuk pembayaran gaji dan elaun pekerja yang bertungkus lumus menjaga anak-anak gajah itu siang dan malam. Ini memberi impak sangat tinggi terhadap dana jabatan yang kian meruncing dan kita menjangkakan lebih banyak anak gajah perlu diselamatkan pada masa akan datang, katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru badan korporat di Sabah dan seluruh negara untuk membantu JHLS bagi membiayai penjagaan harian serta pemakanan anak-anak gajah atau mengambil anak gajah itu sebagai 'haiwan angkat', sepertimana dilakukan Orangutan Appeal UK, sebuah badan amal dari United Kingdom, terhadap Orang Utan di Sepilok. Dalam pada itu, Penolong Pengarah JHLS Dr Sen Nathan berkata satu kajian saintifik mendapati penemuan membimbangkan pada jurnal dalam talian, 'Biological Conservation' oleh sepasukan saintis dari United Kingdom dan Sabah berjudul 'Habitat fragmentation and genetic diversity in natural populations of the Bornean elephant: Implications for conservation'. Beliau berkata trend membimbangkan peningkatan jumlah anak gajah yang diselamatkan adalah kerana secara asasnya, kehadiran anak gajah untuk diselamatkan itu bermakna ibu-ibu kepada anak gajah tersebut dibunuh, yang akan menyumbang kepada kepupusan Gajah Borneo, sepertimana terjadi kepada Badak Sumbu Borneo yang telah pupus di negeri ini. "Kita tidak boleh membiarkan Gajah Borneo menerima nasib sama seperti badak. Langkah pemeliharaan habitat asal dan pembiakan terurus dalam kurungan harus diambil dari sekarang dan bukan 20 tahun akan datang," kata Sen.