SARATOK: Perdana Menteri Mohd Najib Tun Razak mahu rakyat Sarawak memberikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mandat yang kuat pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) nanti. Beliau berkata mandat yang kuat akan membolehkan Adenan membentuk kerajaan negeri yang dapat menjamin kestabilan politik dan berunding dengan kerajaan pusat mengenai apa sahaja bentuk pembangunan yang diperlukan negeri. "Mandat yang kuat itu adalah suara rakyat Sarawak dan kita (kerajaan pusat) mesti menghormati mandat yang diberikan itu," katanya ketika berucap merasmikan Program Sejiwa Senada 2016 Saratok di sini, Ahad. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Adenan dan isterinya Puan Sri Jamilah Anu serta menteri-menteri kerajaan pusat dan negeri. PRN11 dijangka diadakan dalam waktu terdekat susulan penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada Jun ini. Dengan memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) negeri, Najib berkata rakyat Sarawak akan dapat memastikan kerajaan negeri dan kerajaan pusat berada di dalam satu 'kelab' yang sama, sejiwa senada di dalam menentukan pembangunan pesat berterusan untuk negeri itu. Perdana Menteri berkata Adenan yang menyambut ulang tahun kedua sebagai Ketua Menteri Sarawak semalam telah melaksanakan pelbagai perubahan dalam tempoh beliau memegang jawatan tersebut. "Masa dua tahun tidak cukup untuk beliau melaksanakan segalanya untuk rakyat Sarawak. Berilah beliau lima tahun lagi untuk membawa lebih banyak pembangunan untuk Sarawak," katanya. Najib mengingatkan bahawa sekiranya rakyat tersilap membuat pilihan pada PRN11 nanti, segala apa yang sedang dirundingkan oleh kerajaan negeri dengan kerajaan pusat khasnya di dalam perkara menyentuh mengenai penurunan kuasa, akan menemui jalan sukar. "Rundingan ini mudah untuk dilakukan khas sekali jika ianya dilakukan oleh kerajaan pusat dengan kerajaan negeri yang kuat di bawah pimpinan Adenan," katanya.