IPOH: Seorang wanita ditemui mati di ruang tamu rumahnya di Ladang Sengat, Simpang Pulai di sini pada Ahad, dipercayai dibunuh suaminya. Mangsa S. Durga Devi, 17, ditemui dalam keadaan terbaring dan terdapat kesan kecederaan di muka seperti ditumbuk. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi, daripada orang awam yang terdengar pergaduhan di rumah mangsa. "Jiran memberitahu ada dengar pergaduhan berlaku di rumah mangsa sejak tengah malam tadi sehingga sekitar pukul 5 pagi. "Pergaduhan itu dipercayai disebabkan masalah rumah tangga. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Beliau berkata suami mangsa berumur 27 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan di tempat kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tiada sebarang senjata dirampas. Mengenai kesan darah yang ditemui di luar rumah itu, Sum berkata ia akan dihantar ke Unit Forensik untuk mengenal pasti sama ada ia milik mangsa atau suaminya. Sum berkata pasangan yang hanya tinggal berdua di rumah milik bapa si suami itu telah berkahwin selama setahun dan tidak mempunyai anak.