suria

Stor Kilang Sarung Tangan Di Taiping Terbakar

TAIPING: Stor sebuah kilang sarung tangan getah yang baru dibina dengan kos RM5 juta di Jalan Matang dekat sini terbakar Jumaat.

Kebakaran menyebabkan asap hitam yang menjulang boleh dilihat sehingga jarak lima kilometer.

Ketua Zon 2 Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Mohamad Yusoff Abdul Rahman berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 8.41 pagi sebelum lapan jentera dengan 45 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya operasi memadam kebakaran turut disertai anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting serta Bomba Sukarela Kuala Sepetang dan Bagan Serai.

Ketika ditemui di tempat kejadian, Mohamad Yusoff berkata lebih 60 peratus bahagian stor milik kilang Comfort Rubber Gloves Industries Sdn Bhd itu musnah dalam kebakaran tersebut.

"Pihak bomba berjaya mengawal keseluruhan kebakaran itu pada 10 pagi daripada merebak ke kilang berdekatan," katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.

kilang sarung tangan, kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Lain