suria

2,838 Kg Serbuk Ketum Dirampas Di Pulau Pinang

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada serbuk ketum bernilai RM238,000 yang dirampas dalam serbuan Rabu, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, Khamis. Turut hadir Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid (dua,kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Superitendan Guan Beng Kang (kanan).

GEORGE TOWN: Polis membongkar sebuah makmal memproses daun ketum dan merampas 2,838 kilogram serbuk ketum bernilai RM238,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Datuk Keramat, di sini, Rabu.

Serbuk ketum yang diproses di rumah teres dua tingkat yang dipercayai dijadikan makmal memproses bahan itu sejak enam tahun lepas adalah untuk dieksport ke pasaran antarabangsa.

"Seorang lelaki Bangladesh berusia 33 tahun ditahan ketika sedang memproses dan membungkus bahan itu. Lelaki yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu kini direman sehingga 22 Mac," kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Khamis, beliau berkata siasatan awal polis mendapati serbuk ketum itu dibungkus satu kilogram bagi setiap pek untuk dieksport ke beberapa negara antaranya Indonesia, Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

"Serbuk itu dihantar menggunakan perkhidmatan kurier menerusi kapal terbang dengan mengisytiharkannya sebagai herba tradisonal," katanya.

Abdul Ghafar berkata, polis telah mengenal pasti individu yang terlibat dalam kegiatan itu dan usaha mengesan lelaki yang mempunyai hubungan dengan rangkaian sindiket pengedaran bahan terlarang itu giat dijalankan.

Polis juga sedang mengesan pembekal daun ketum ke makmal itu, katanya.

Beliau berkata serbuan pukul 12.30 tengah hari itu adalah hasil maklumat dan risikan sejak seminggu lepas.

"Kami merampas 1,690kg serbuk ketum yang telah diproses dan siap dibungkus serta 1,148kg serbuk ketum yang belum diproses dalam rumah itu," katanya.

Beliau berkata turut dirampas ialah pelbagai peralatan memproses dan mengisar serbuk ketum antaranya mesin pengisar, mesin pembungkusan dan penimbang.

"Setakat ini kami tidak menemui dadah lain di rumah itu dan kami sedang menyiasat sama ada dadah lain turut digunakan dalam menghasilkan serbuk ketum itu," katanya.-- Bernama


Artikel Lain