Lelaki terbabit dipercayai menggunakan mercun untuk meletupkan mesin ATM berkenaan dalam kejadian pukul 5.20 pagi itu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata terdapat serpihan mercun dan kesan letupan pada satu daripada mesin itu selain pintu gelangsar cermin depan bank itu pecah.
"Hasil penilaian menerusi CCTV bank itu, suspek dilihat meletakkan mercun di atas sebuah mesin ATM dan letupan mercun itu mengakibatkan penutup bahagian bawah skrin mesin ATM terbuka," katanya di sini Jumaat.
Beliau berkata ketika kereta polis tiba di lokasi kejadian tidak ada sesiapa di bank itu dan lelaki terbabit dipercayai lari apabila alat penggera bank berbunyi.
Lai berkata polis sedang mengenal pasti lelaki terbabit menerusi rakaman CCTV di setiap kawasan berhampiran.
Bank itu juga difahamkan tiada pengawal keselamatan dan suspek dipercayai melakukan perbuatan itu berseorangan, katanya.
Lai berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Bahan Letupan 1957 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.