PETALING JAYA: Warga asing dari negara sumber yang terdesak untuk bekerja di Malaysia kini menggunakan taktik baharu untuk memasuki negara ini secara haram susulan pengumuman kerajaan baru-baru ini mengenai penangguhan pengambilan pekerja asing dari semua negara berkenaan. Penangguhan tersebut turut membabitkan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini. Taktik baharu ini dikesan menerusi penahanan enam warga Bangladesh yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu (9 Mac 2016) kerana menggunakan visa pelawat palsu. Tidak sampai 24 jam, tiga lagi merupakan wanita warga India ditahan pada pagi Khamis (10 Mac 2016) selepas dikesan menggunakan visa palsu sewaktu ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Pengarah Imigresen KLIA, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, siasatan mendapati kesemua warga Bangladesh yang ditahan disyaki mahu bekerja di negara ini termasuk tiga wanita warga India yang berhasrat untuk menjadi pembantu rumah. “Pasport yang mereka gunakan adalah sah tetapi visa dipalsukan. Mereka memalsukan visa kerana ia lebih mudah dilakukan berbanding pemalsuan pasport. “Penggunaan pasport tulen itu kononnya mahu mengaburi pihak berkuasa, tetapi kita masih dapat kesan visa palsu yang terdapat di dalam pasport berkenaan,” katanya kepada mStar Online dalam satu temuramah. Enam warga Bangladesh dan tiga warga India ditahan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) kerana menggunakan dokumen perjalanan yang dipalsukan. Mohd Zulfikar berkata, sebagai pintu masuk utama negara, kawalan keselamatan di di KLIA dan KLIA2 sentiasa dipertingkatkan selain kaedah biometrik. Menurut Mohd Zulfikar, imigresen kini mula memasang ‘kamera khas’ yang merupakan sistem pembaca dokumen dan pengecaman wajah (facial recognition and advance document reader) di setiap kaunter imigresen KLIA dan KLIA2. “Kamera ini merupakan ciri keselamatan tambahan bagi pemeriksaan setiap kemasukan warga asing ke negara ini. ‘Kamera khas’ ini dihubungkan dengan pangkalan data dan sistem biometrik sedia ada. “Ia berfungsi untuk pemadanan wajah dan data pada dokumen perjalanan mereka. Ketepatan pemadanan ini boleh mencapai sehingga 80 peratus,” katanya sambil menambah semakan kedua boleh dilakukan untuk pengesahan lanjut. Pada Jumaat (11 Mac 2016), seorang lelaki warga Pakistan ditahan di KLIA2 kerana menggunakan pasport milik warga Sepanyol, dan ia merupakan kes pertama yang dikesan menerusi sistem pembaca dokumen dan pengecaman wajah (facial recognition and advance document reader). “Lelaki itu ditahan pada pagi Jumaat selepas tiba di KLIA2 dari Lahore, Pakistan. Butiran pasport asal adalah seorang wanita. Kita turut menemui pasport asal milik warga Pakistan berkenaan. “Kes ini dikesan menerusi sistem pengecaman wajah di KLIA2. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah warga Pakistan berkenaan ditahan mengikut Seksyen 12a Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport individu lain. Mengikut rekod, sebanyak 130 kes pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan di KLIA dan KLIA2 dari Januari 2015 sehingga Februari 2016. Daripada jumlah itu, 109 adalah lelaki dan 21 wanita. Mohd Zulfikar berkata, berdasarkan statistik itu, Bangladesh merupakan warganegara yang paling banyak dikesan melakukan pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan. Menurut Mohd Zulfikar, semua kaunter imigresen di KLIA2 telah dipasang dengan kamera berkenaan pada bulan lalu, dan ia kini dipasang secara berperingkat di KLIA yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini. Tambahnya, KLIA dan KLIA2 menjadi projek perintis (pilot project) bagi ciri keselamatan tambahan ini sebelum ia diperluaskan ke lima lapangan terbang antarabangsa lain di Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Pulau Pinang dan Subang. Terdapat 112 kaunter imigresen di KLIA manakala 70 kaunter imigresen di KLIA2. Difahamkan, kos bagi mewujudkan keseluruhan sistem berjumlah kira-kira RM7 juta. Pada peringkat awal, ciri tambahan keselamatan ini berfungsi untuk membantu mengesan sebarang pemalsuan pasport dan dokumen perjalanan. Difahamkan, selain pangkatan data Jabatan Imigresen, sistem ini akan diperluaskan dengan pangkalan data pihak berkuasa lain termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) pada masa akan datang. Mohd Zulfikar berkata, kepakaran pemeriksaan dokumen pegawai-pegawai imigresen juga sentiasa dipertingkatkan melalui latihan bersama antara negara-negara luar seperti Australia dan United Kingdom (UK). “Selain itu, perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasa dalam dan luar negara sentiasa dilakukan bagi membanteras anasir luar dan dalam negara seperti penyeludupan migran dan pemerdagangan manusia,” katanya.