Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, tiada keperluan untuk pihak berkuasa menghentikan perhimpunan tertutup itu tetapi polis akan memantau dan campur tangan jika keadaan tidak terkawal.
"Ia (perhimpunan) akan memberi masalah kepada orang ramai dan pihak berkuasa. Tetapi jika mereka mahu teruskan demonstrasi mereka di lokasi itu, teruskan tetapi kami minta mereka bertanggungjawab.
"Jika mereka boleh berjanji mereka boleh melakukan demonstrasi tanpa mengganggu orang lain, maka tidak ada keperluan bagi kita untuk menghentikannya," kata Nur Jazlan di lobi Parlimen.
Tetapi katanya, seperti perhimpunan Bersih 4, pihak berkuasa akan bekerjasama dengan penganjur bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Perhimpunan tersebut, yang dijangka akan dihadiri oleh ahli-ahli politik terkemuka seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, adalah untuk menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah dikritik berhubung derma RM2.6 bilion dan isu-isu 1MDB.