IPOH: Lapan individu termasuk dalang utama disyaki terlibat memberi penganugerahan pingat dan darjah kebesaran palsu di negeri ini ditahan polis dalam Ops Anugerah yang dilaksanakan sejak 16 Februari lepas. Ketua Polis Perak Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua suspek yang berumur antara 35 hingga 63 tahun itu telah ditahan polis dalam tangkapan berasingan di seluruh negara. "Tahanan kelapan-lapan individu yang dikesan di Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang telah dilakukan antara polis Perak dan polis Bukit Aman. Tangkapan suspek dibuat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya dalam sidang media selepas Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan dan Pemakaian Pangkat Koperal ke Sarjan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di sini, Rabu. Menurut beliau, kesemua mereka kini direman mengikut Seksyen 4(2) POCA 1959 (Akta 297) sementara menunggu Lembaga Pencegahan Jenayah bersidang untuk tindakan selanjutnya. "Ops anugerah ini diadakan bagi menjunjung titah perintah Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah). Sindiket yang memberi anugerah palsu ini telah mencemar Institusi Kesultanan negeri Perak," katanya. Semalam, Sultan Nazrin Shah bertitah tindakan tegas wajib diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan penganugerahanan gelaran darjah tanpa pengiktirafan rasmi daripada kerajaan negeri Perak untuk mengekang ia daripada terus berleluasa. Baginda bertitah jika perlu, undang-undang yang lebih ketat hendaklah digubal dan hukuman yang lebih berat perlu dikenakan supaya aktiviti itu dapat dibanteras secara berkesan. Abdul Rahim berkata sejak Mac 2013, polis Perak telah menerima empat laporan mengenai penganugerahan pingat dan darjah kebesaran palsu di negeri ini. "Pihak polis percaya masih ada lagi suspek di bawah sindiket yang sama dan akan meneruskan ops ini untuk menahan kesemua mereka," katanya. Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata sehingga semalam, terdapat peningkatan indeks jenayah terutama dari segi jenayah harta benda iaitu 18.1 peratus bersamaan dengan 215 kes. "Ada tiga daerah menyumbang utama indeks jenayah iaitu Ipoh, Manjung dan juga Taiping. Empat puluh tiga peratus menunjukkan peningkatan kadar indeks jenayah harta benda adalah membabitkan kecurian motosikal. Keduanya lain-lain kecurian dan diikuti kes pecah rumah," katanya. Pada majlis itu, 135 orang anggota pangkat rendah polis kontinjen Perak telah menerima kenaikan pangkat daripada koperal ke sarjan.