KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang siasatan terhadap mana-mana parti politik yang kononnya berbelanja lebih sewaktu pilihan raya. Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata kuasa SPR adalah terhadap calon yang bertanding dan juga dalam tempoh berkempen pilihan raya sahaja. "Apa yang ditimbulkan oleh ahli parti terhadap perbelanjaan pilihan raya adalah urusan parti dan SPR tidak wajar dikaitkan. "Ini kerana perjalanan sesebuah parti berdaftar dalam urusan perbelanjaan parti adalah di bawah Akta Pertubuhan dan sebagainya, dan bukan di bawah perundangan pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan, Rabu. Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas SPR terhadap laporan dibuat anggota Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik dan anggota Parlimen Rasah, Teo Kok Seong terhadap Barisan Nasional (BN) berkenaan perbelanjaan melebihi maksimum yang kononnya melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Laporan itu dibuat dan dihantar anggota Parlimen berkenaan di Menara SPR dua hari lepas. Mohd Hashim berkata pihaknya perlu berhati-hati supaya tidak melampaui bidang kuasa yang diberikan agar tidak menyentuh bidang kuasa badan yang lain yang mempunyai kuasa menyiasat secara menyeluruh. Jelasnya, isu yang dibangkitkan anggota Parlimen tersebut, telah pun ditimbulkan parti-parti lain sebelum ini seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengheret pihaknya ke mahkamah. "Keputusan Mahkamah Tinggi telah memihak kepada SPR dan tiada kesalahan dari segi undang-undang pilihan raya oleh SPR dalam pengendalian Pilihan Raya Umum ke-13 lepas," katanya. Mohd Hashim berkata selain itu, petisyen pilihan raya juga telah difailkan oleh calon bertanding dan telah diputuskan oleh mahkamah sebelum ini. Proses perundangan berkaitan pilihan raya telah pun dilalui SPR dan pihak berkepentingan juga telah mendapat keadilan sepenuhnya di Mahkamah Pilihan Raya, katanya.