KUCHING: Wartawan penyiaran ABC Linton Besser menyifatkan alasan 'kebimbangan culik' untuk menahan dirinya dan seorang lagi rakan, Louie Eroglu pada Sabtu sebagai tidak masuk akal. Bertindak balas terhadap komen seorang menteri di sini pada Rabu, Besser menulis di Twitter: "Sarkas. Mula-mula saya tidak mendaftar untuk majlis itu, kemudian saya bertindak agresif, kemudian saya melanggar kepungan. Sekarang ini." Dilampirkan bersama tweet itu adalah paparan skrin laporan yang memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hamzah Zainuddin sebagai berkata bahawa kawalan keselamatan lebih ketat di sekeliling Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah disebabkan kebimbangan penculikan. Hamzah, yang memberikan komen tersebut ketika Besser dan jurukamera Eroglu telah telah pun terbang pulang dari Sarawak, menolak tanggapan bahawa tidak ada kebebasan akhbar di negara ini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga mencadangkan Besser dan disiasat kerana tidak memohon permit kerja. Besser dan Eroglu telah ditangkap, ditahan dan disoal kerana menghalang pegawai awam menjalankan tugas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Kedua-dua mereka sedang mengadakan rakaman untuk satu segmen penyiasatan Four Corners. Seorang penerbit eksekutif program ini, Sally Neighbour, mempertikaikan dakwaan polis bahawa dua warga Australia itu telah diusir pulang. "Pemberita @4Corners bukan diusir. Mereka dibebaskan kerana tidak ada kes terhadap mereka," tulisnya di Twitter. Dalam temu bual dengan ABC sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, Besser berkata: "Ia telah dilaporkan secara meluas bahawa kami telah diusir oleh pihak berkuasa Malaysia dan memang kami segera dibawa ke lapangan terbang melalui imigresen dan kastam dengan polis beruniform. "Malah sepanjang perjalanan ke tempat duduk kami di atas kapal terbang di mana gambar kami dirakamkan oleh seorang pegawai polis yang sangat bagus...tetapi tidak ada fakta yang memberitahu bahawa kami telah diusir. Pasport kami tidak mengatakan kami telah diusir. Kami tidak pernah diberi sekeping kertas yang menyatakan bahawa ia adalah satu kes." Pada Selasa, peguam tempatan Albert Tang memberitahu The Star beliau tidak pasti sama ada anak guamnya telah diharamkan daripada memasuki Malaysia atau Sarawak. Besser berkata mereka akan terus berada di Singapura untuk beberapa hari lagi bagi meneruskan siasatan.