suria

Ahli Parlimen Pembangkang Serah Memo Kepada Khalid Bantah Penahanan Rafizi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang berarak dari Parlimen menuju ke Bukit Aman di sini bagi membantah penahanan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Padan itu ditahan di hadapan Parlimen kira-kira pukul 6.20 petang Selasa di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang berarak pada pukul 9.10 pagi Khamis yang turut disertai beberapa pemimpin pembangkang dan juga penyokong mereka.

Antara yang menyertai protes tersebut adalah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Kumpulan terbabit membawa sepanduk sambil melaungkan 'Bebaskan Rafizi', 'Daulat Parlimen', 'Undur Najib' dan 'Undur IGP' sepanjang berarak menuju ke Bukit Aman.

Memorandum itu akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketiga-tiga mereka tidak dibenarkan memasuki Bukit Aman dan memorandum itu diserahkan  kepada pegawai polis di pondok pengawal yang menerima dokumen itu bagi pihak KPN.

Mereka bagaimanapun bersurai kira-kira pukul 9.35 pagi selepas polis memaklumkan mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 jika ingkar dengan arahan tersebut.

Rafizi Ramli, protes jalanan

Artikel Berikut

Artikel Lain