suria

Shahrol Perlu Bertanggungjawab Terhadap Kelemahan 1MDB - PAC

Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

KUALA LUMPUR: Hasil siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) mendapati bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi perlu bertanggungjawab terhadap 'kelemahan dan kekangan' yang dihadapi syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

"Kami menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Shahrol dan mereka yang berkaitan," kata PAC dalam laporan setebal 106 muka surat mengenai 1MDB yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis.

Siasatan PAC terhadap 1MDB bermula pada Mei 2015 tetapi dihentikan secara tiba-tiba berikutan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin menggantikan bekas pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Antara yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada PAC ialah bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamarduddin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif semasa 1MDB, Arul Kanda Kandasamy dan Shahrol.

Sebagai sebuah syarikat pelaburan strategik milik kerajaan, PAC berkata 1MDB sepatutnya melaksanakan 'amalan terbaik dalam pengurusan mereka'.

"Selepas melihat laporan akhir oleh Jabatan Audit Negara dan prosiding PAC, kami mendapati pengurusan dan lembaga pengarah adalah lemah.

"Pihak pengurusan berkali-kali gagal mematuhi keputusan dan arahan yang dibuat lembaga pengarah atau pihak pengurusan mengambil keputusan sendiri sebelum tanpa berbincang dengan lembaga pengarah," kata PAC.

Menurut PAC, terdapat juga beberapa pelaburan dan pinjaman besar yang diperolehi dilakukan tanpa penilaian yang betul dan memberi kesan kepada aliran tunai syarikat tersebut.

1MDB, PAC

Artikel Lain