ASSALAMUALAIKUM. Sebelum melangkah ke Tanah Suci, kita diwajibkan untuk mengambil suntikan meningococcal meningitis dan mengemukakan bukti pengambilan suntikan itu ketika menghantar pasport dan segala salinan dokumen tertentu ditetapkan bagi melancarkan lagi permohonan visa ke Arab Saudi. Lazimnya, setelah mendapat suntikan itu, kita akan diberi buku berwarna putih atau oren oleh klinik yang mengendalikannya. Ada juga sesetengah klinik yang hanya memberi sekeping kertas sebagai pengesahan atau bukti suntikan sudahpun dilakukan. Selalunya, vaksin diambil mempunyai tarikh luput. Ada yang boleh bertahan setahun dan ada juga boleh mencecah sehingga lima tahun. Bukan semua klinik menyediakan pelalian untuk meningococcal meningitis dan kadangkala bakal jemaah umrah perlu mendaftar terlebih dahulu di klinik terbabit. Kos ditetapkan untuk suntikan di klinik swasta agak tinggi dan harganya meningkat hampir setiap tahun. Justeru, jika anda sering berpeluang menjadi tetamu Allah, simpanlah buku suntikan atau bukti yang menunjukkan anda sudahpun disuntik sebaik-baiknya. Oleh sebab kos suntikan juga tinggi, adalah wajar untuk setiap bakal jemaah bertanya kepada kakitangan di klinik jangka hayat vaksin dibekalkan itu. Buku atau surat pengesahan pengambilan suntikan sangat penting sebagai bukti menunjukkan anda sudahpun mendapat vaksin ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum memasuki negara berkenaan. Kisah yang saya paparkan kali ini berkaitan buku suntikan meningococcal meningitis yang tidak dibawa oleh dua petugas yang bakal mengetuai rombongan jemaah umrah pada Mei 2015. Pengalaman yang dilalui mereka boleh dijadikan pengajaran. Segala-galanya bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada jam 8 pagi di kaunter daftar masuk Qatar Airways. Saya mendengar kakitangan di kaunter meminta buku suntikan daripada petugas Farhan Travel & Tours, Norhaita Abdul Halim. “Buku suntkan mana?” tanya kakitangan di kaunter. “Tak bawa,” jawab Norhaita ringkas. “Dah inject ke belum?” tanya kakitangan berkenaan lagi. “Sudah, baru juga inject,” balas Norhaita. Kalau tak ada buku, tak boleh check in,” ujar pemuda berkenaan serius. “Kenapa pula tak boleh. Selalunya tak ada buku pun ok je,” jawab Norhaita lagi. “Tak boleh lepas kalau tak ada buku suntikan. Jika dengan Qatar Airways tak boleh. Kami tidak akan lepaskan,” jawab seorang lagi kakitangan. “Ye ke? Selalu tak timbul masalah ini,” jawab Norhaita lagi. Saya pula bertanya kepada Norhaita sama ada dia sudah mengambil suntikan atau belum dan jawabnya sudah tetapi terlupa untuk membawa buku suntikan itu bersama-samanya. Norhaita kelihatan gusar. Pasport jemaah lain sudah bersusun di atas kaunter. Tidak lama selepas itu, datang Ustaz Wan yang mewakili sebuah lagi agensi pelancongan tempatan dari Kedah dan membawa hampir 60 jemaah umrah. Dia turut menghampiri kaunter daftar masuk dan dimaklumkan perkara yang sama. Dia terkejut apabila mengetahui buku suntikan meningococcal meningitis diperlukan untuk daftar masuk setiap nama jemaah. “Kenapa pula diperlukan buku itu? Ia hanya diperlukan oleh Kerajaan Arab Saudi bukan di negara ini,” ujar Ustaz Wan dengan wajah mencuka. “Mesti ada buku suntikan baru boleh kami daftar masuk semua nama jemaah dan serahkan pas berlepas,” pinta kakitangan di kaunter. Sejurus itu, Ustaz Wan meminta buku suntikan daripada setiap jemaahnya tetapi tidak semua membawanya bersama-sama. Beliau kelihaan bingung kerana tidak membawa buku suntikan. “Bukan semua orang bawa. Jadi macam mana?” tanya Ustaz Wan. “Kalau tak bawa, mereka tidak boleh lepas. Kalau saya lepaskan di sini, tiba di Jeddah ada kemungkinan jemaah boleh dikuarantin jika mereka minta buku dan jemaah gagal memberikannya,” jawab kakitangan berkenaan. “Ada kes kuarantin ke sebelum ini?” tanya saya. “Ada. Jemaah tak bawa buku suntikan dan mereka dikuarantin beberapa hari di Jeddah,” balas kakitangan berkenaan. Norhaita dan Ustaz Wan meminta kakitangan di kaunter melepaskan mereka dan jemaah yang tidak membawa buku suntikan tetapi usaha mereka itu tidak berjaya. Mendengar suara mereka yang agak keras, saya terus menghampiri kaunter kerana tidak guna berbalah sebab ia perlu diatasi untuk membolehkan semua jemaah berangkat ke Tanah Suci. “Tuan, di sini (KLIA) ada klinik tak?” tanya saya kepada seorang kakitangan berkot dan bertali leher di kaunter Qatar Airways. “Ada. Turun satu eskelator. Menara Medical Clinic,” balas beliau. “Ok terima kasih,” balas saya ringkas. Gambar Hiasan Saya mengajak Norhaita turun ke klinik dimaksudkan. Ketika menuju ke klinik berkenaan Norhaita sempat mengatakan kepada saya kebimbangannya akan demam selepas disuntik. Namun, saya katakan, tidak pula demam selepas disuntik. “Di sini ada bekalann vaksin meningococcal meningitis tak?” soal saya sejurus memasuki klinik itu dan member salam kepada kakitangan di kaunter klinik. “Tunggu sebentar Puan. Saya periksa dulu,” balas kakitangan itu. Saya lihat Norhaita agak gelisah. “Ada dua lagi Puan bekalan vaksin itu,” ujar jururawat klinik berkenaan. “Alhamdulillah, terima kasih,” balas saya. Saya meninggalkan Norhaita di klinik yang ketika itu sedang mengisi sekeping borang untuk naik semula ke paras lima untuk mencari Ustaz Wan. Saya maklumkan kepadanya bekalan vaksin masih ada satu lagi dan beliau boleh mendapatkannya segera. “Jemaah lain macam mana?” tanya saya kepada Ustaz Wan. Mereka semua dah suntik tetapi tidak bawa buku suntikan. Memang benar katanya, saya sempat bertanya beberapa jemaah dan mereka mengatakan tidak membawa buku suntikan kerana tiada keperluan. Saya kehairanan tetapi hanya berdiam. “Berapa ramai yang tak bawa buku suntikan Ustaz?” tanya saya lagi ketika menuju ke klinik. “Hampir semua tak bawa buku….” jawab Ustaz Wan. Terkejut saya dibuatnya. Sejurus tiba di klinik saya bertanya lagi kepada kakitangan di klinik berkenaan. “Di mana lagi ada klinik berhampiran KLIA yang ada bekalan vaksin meningococcal meningitis?” tanya saya. “Klinik di KLIA2. Tapi saya perlu hubungi untuk mengetahui ada bekalan vaksin atau tidak,” balas jururawat itu. “Baiklah,” balas saya. Norhaita baru sahaja disuntik dan Ustaz Wan pula menanti. “Tiada puan bekalan vaksin di KLIA2. Jemaah berangkat jam berapa?,” tanya kakitangan di klinik itu. “InsyaAllah jam 10.30 pagi,” balas saya. “Klinik berhampiran KLIA memang ada tetapi belum tentu ada bekalan vaksin diperlukan. Tambahan pula, tidak sempat jika hendak ke klinik lain sekaang ini,” ujar jururawat itu. Ustaz Wan menjelaskan bahawa sebahagian besar jemaahnya tidak membawa buku suntikan dan ini menimbulkan masalah untuk berangkat ke Tanah Suci. Tidak lama selepas itu, doktor keluar dan mencadangkan agar Ustaz Wan menghubungi hospital atau klinik yang mana jemaahnya mendapatkan suntikan dan mengeluarkan surat pengesahan berhubung perkara itu serta faks surat berkenaan kepada Menara Medical Clinic secepat mungkin. “Boleh ke doktor keluarkan surat itu dan mengesahkan kami sudah mendapat suntikan?” tanya Ustaz Wan. “Tak boleh. Hanya pegawai perubatan dan klinik yang memberi suntikan boleh mengesahkannya,” balas doktor berkenaan. Ustaz Wan terus menghubungi klinik yang berkenaan dan memohon agar surat pengesahan suntikan dikeluarkan pada kadar segera untuk membolehkannya dan jemaah lain berangkat mengikut jadual, iaitu tidak sampai dua jam. Saya lihat wajah Ustaz Wan gusar. Norhaita pula tampak lega setelah disuntik. Kira-kira 15 minit kemudian, Menara Medical Clinic menerima senarai salinan jemaah yang sudahpun mendapat suntikan dan menyerahkannya kepada Ustaz Wan. Ustaz Wan memegang dan membaca salinan nama jemaah itu dengan senang hati dan penuh kesyukuran. Kami mengucapkan terima kasih kepada doktor dan kakitangan di klinik itu dan berlalu pergi. Selesai segala urusan daftar masuk, kami berangkat menuju destinasi. Singgah 45 minit di Doha dan perjalanan diteruskan lagi ke Jeddah. Tiba di terminal haji dan seterusnya dibawa menaiki bas ke Madinah untuk beribadat dan berziarah. Empat hari di Madinah, kami berangkat pula ke Tanah Suci Makkah. Kisah ini wajar dijadikan pengajaran agar kita tidak memandang ringan setiap dokumen yang perlu disediakan dan dibawa ke Tanah Suci. Ikuti catatan saya pada minggu depan, insyaAllah.