suria

Polis Siasat Dua Anggota Didakwa Bebas Suspek Kes Rogol

PETALING JAYA: Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan dua anggota pasukan keselamatan itu yang didakwa membebaskan suspek kes rogol kanak-kanak empat tahun di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata setakat ini tindakan tatatertib iaitu tahan kerja serta merta telah dikenakan ke atas dua anggota terbabit sementara siasatan dilakukan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati dua anggota polis berkenaan telah menjalankan tugas dengan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sepatutnya.

"Kita akui kesilapan ini tidak sepatutnya berlaku, bila seseorang menyerahkan penjenayah kepada pihak polis, perlu mengambil tindakan sewajarnya mengikut garis panduan ditetapkan, terutama melibatkan kes rogol seperti ini.

"Jika keputusan siasatan itu nanti membuktikan mereka bersalah sehingga menyebabkan suspek bebas, kita tidak akan teragak-agak tuduh dua anggota terbabit di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau di Hutan Pendidikan Bukit Gasing, di sini, Sabtu.

Abdul Rahim berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu melepaskan orang tahanan, yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengenai suspek kes rogol itu, beliau berkata pihak polis sedang giat mengesan lelaki itu yang dipercayai warga asing.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, kanak-kanak malang itu dikatakan dirogol suspek pada pukul 1 pagi sebelum ditangkap orang ramai.

Dua anggota polis yang menaiki kereta peronda kemudian tiba di lokasi tersebut menahan suspek berkenaan dan membawanya ke Balai Polis Sungai Pelong.

Bagaimanapun, dua anggota polis berkenaan dikatakan telah membuat keputusan sendiri dengan membebaskan suspek disebabkan ibu mangsa enggan membuat laporan polis kerana mereka adalah warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Samah berkata, satu laporan polis kemudian dibuat oleh seorang doktor hospital kerajaan pada hari sama setelah memeriksa kanak-kanak itu yang dibawa ibunya untuk menerima rawatan selepas mangsa mengadu mengalami kesakitan pada kemaluan.

Artikel Lain