suria

Najib Rasmi Sistem Lokap Pintar Rekaan PDRM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga, kanan) sewaktu hadir di majlis perasmian Smart Lokap sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Isnin. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Isnin merasmikan sistem Lokap Pintar rekaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang dipamerkan pada Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2016 (DSA 2016) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perdana menteri, yang tiba di tapak pameran DSA 2016 pada 3.35 petang, meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk mendengar taklimat dan melihat sendiri fungsi lokap berkenaan sebelum menandatangani plak perasmian sistem lokap itu.

Taklimat itu disampaikan Timbalan Pengarah III Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi PDRM SAC Sahabudin Abdul Manan.
Sistem Lokap Pintar direka PDRM dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta dibangunkan oleh Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS).

Buat permulaan, sistem itu dipasang di lokap berpusat Balai Polis Jinjang sebagai projek perintis sebelum diperluas penggunaannya di semua balai polis di seluruh negara.

Ketua Lokap Berpusat Jinjang ASP Edmond Wong berkata sistem itu  dipasang di semua lokap di tingkat satu balai itu pada Februari lepas.

"Sistem Lokap Pintar ini dilengkapi dengan kamera yang akan merakam setiap pergerakan tahanan, dan sekiranya terdapat tingkah laku yang mencurigakan, sistem ini akan menghantar amaran awal kepada pegawai yang bertugas.

"Ini memudahkan pihak polis untuk mengambil tindakan awal dengan lebih cepat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini," katanya kepada Bernama.

Wong berkata sistem itu juga berjaya mengoptimumkan produktiviti operasi lokap serta menjamin keselamatan setiap tahanan.

Sistem itu memenangi Anugerah Inovasi Perusahaan Asia Pasifik 2015 (Kategori Kerajaan) tahun lepas.

lokap pintar, PDRM, DSA 2016

Artikel Sebelum

Artikel Lain