PETALING JAYA: Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak secara sukarela menawarkan diri untuk bercuti berkuatkuasa serta-merta bagi memudahkan siasatan bebas dilakukan berhubung pemindahan dana sebanyak kira-kira hampir AS$7 juta (RM29.45 juta). Nazir dipercayai mengumumkannya ketika mesyuarat agung tahunan CIMB yang diadakan secara tertutup pada Isnin. Sementara itu menerusi posting di Instagram, pemilik Air Asia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes memuji langkah Nazir. "Tindakan terpuji oleh Pengerusi CIMB Nazir Razak. (Beliau) secara sukarela mengambil cuti bermula hari ini bagi membolehkan siasatan bebas berhubung pemindahan AS$7 juta. "Demi manfaat tadbir urus korporat yang baik dan telus," katanya. CIMB akan mengadakan sidang akhbar mengenainya pada tengahari Isnin.