SIBU: Parti serpihan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu UPP dan Teras akan dibubarkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei depan. Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, perkara itu dinyatakan kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad di hadapan Ketua Menteri. Tan Sri Adenan Satem. "Perdana Menteri mengesahkan tidak akan ada Teras dan UPP selepas pilihan raya," Tiong berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP selama lebih tiga jam pada Ahad malam. Adenan sebelum ini berkata bahawa ahli Teras dan UPP yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN) perlu menyertai BN jika mereka menang. Malah Adenan dilaporkan berkata bahawa mereka juga boleh memilih parti yang setia kepada BN. Ditanya sama ada Adenan bersetuju dengan Najib bahawa Teras dan UPP akan dibubarkan, Tiong berkata: "Setuju atau tidak, saya tidak tahu. Bagaimana saya nak meletakkan perkataan ke dalam mulut orang?" Tiong berkata, mana-mana calon yang menang boleh menyertai SPDP. "Mereka perlu memohon untuk menjadi ahli. Bagi jawatan dalam parti, ia terpulang kepada perwakilan untuk membuat keputusan," katanya.