PETALING JAYA: Bukan semua penulis blog hanya memikirkan mengenai keuntungan semata-mata sehingga bersikap 'demand' yang keterlaluan, kata penulis blog, Ben Ashaari. Penulis blog berusia 40 tahun itu turut tidak menafikan kebanyakan blogger menjadikan ia sebagai sumber pendapatan menerusi promosi dan pengiklanan, demi menyara kehidupan termasuk dirinya sendiri. Bagaimanapun katanya, penulis blog seharusnya mengimbangi diri mereka antara mengaut keuntungan dan berbakti kepada masyarakat. "Daripada membuatkan 'entri' di blog yang bukan-bukan, ada baiknya penulis blog memberikan bantuan, sama ada situasi menang-menang atau untuk kebajikan. "Jana pendapatan dan membuat amal kebaikan perlu seiring. Jadi, bukan semua penulis blog hanya tahu 'demand', tetapi mereka juga boleh memberi khidmat kepada masyarakat," katanya kepada mStar Online. Ben Ashaari merupakan finalis Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) bagi kategori Blog Pilihan Online. Ben berkata, 'demand' bersifat subjektif kerana seseorang penulis blog juga layak 'demand' sekiranya mempunyai nama dan ramai pengikut kerana bukan mudah mereka untuk menaikkan jenama blog dan mempunyai pengaruh. Bagaimanapun jelas Ben, ia seharusnya dilakukan secara berpatutan dan bergantung kepada kemampuan dalam melaksanakan sesuatu tugas yang dipertanggungjawabkan, selain mengambil kira faktor profil pelanggan. Sekumpulan ahli Kelab Blogger Ben Ashaari dalam satu aktiviti kelab. "Saya akui ada penulis blog yang suka 'demand' yang keterlaluan sehingga menyebabkan penulis blog kurang disenangi dan diberikan persepsi negatif. "Bagi saya, penulis blog yang bersikap negatif ini tidak berilmu, tiada pengalaman dan tanpa hala tuju," tegasnya. Sebab itu, kata Ben, dia menubuhkan Kelab Blogger Ben Ashaari (KBBA9) (gambar) yang antara lainnya mendidik ahlinya untuk menjadi penulis blog yang baik, membantu antara satu sama lain serta berkhidmat kepada masyarakat. "KBBA9 bukan sahaja menghimpunkan sejumlah penulis blog tetapi bersatu dalam melakukan pelbagai aktiviti termasuk kegiatan sukarelawan dan kebajikan. "Ia merupakan kerja sepasukan dan KBBA9 turut mengumpul dana bagi memberikan sumbangan kepada projek amal dan mereka yang memerlukan bantuan," katanya mengenai kelab itu dengan slogan 'Bukan Sekadar Blogger'. Antara projek amal yang disertai Kelab Blogger Ben Ashaari. Mengenai finalis APO2016, Ben berkata, pencalonannya itu demi kebaikan bersama Kelab Blogger Ben Ashaari yang menghimpunkan lebih 100 penulis blog. "Undian terhadap saya adalah demi mengukuhkan lagi KBBA9. Saya hanya menjadi pengantara antara mereka dan anugerah ini," ujar Ben. Pengundian APO2016 masih dibuka dan boleh dibuat sehingga 27 April ini menerusi http://apo.mstar.com.my/undi.aspx APO2016 dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April ini (Sabtu) yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.