suria

PRN Sarawak: Perbalahan DAP-PKR Mula Terbayang

Boniface Willy
KUCHING: Tindakan naib pengerusi PKR Sarawak Boniface Willy Tumek keluar parti membayangkan perbalahan berhubung dengan pengagihan kerusi dengan DAP bagi pilihan raya Sarawak ke-11.

Tumek berkata PKR telah gagal mendapatkan pencalonannya bagi kawasan Tasik Biru dan membenarkan DAP mengambil alih kerusi yang ditandingi oleh PKR pada 2011.

Memandangkan pencalonan bagi 82 kerusi Dewan Undangan Negeri ditetapkan pada Isnin, PKR belum mengumumkan calon-calon mereka dan kawasan yang mereka akan bertanding dan ini membayangkan kemungkinan kedua-dua parti bertelagah mengenai pengagihan kerusi.

PKR sebelum ini dilaporkan mengintai untuk bertanding 40 kerusi.

Pada 2011, parti itu bertanding 49 kerusi dan menang tiga kerusi.

DAP berkata hari ini, ia akan bertanding 30 kerusi, satu kerusi lebih daripada diumumkan sebelumnya dan menyenaraikan Bukit Goram untuk ditandingi selepas presiden Parti Pekerja Sarawak, Larry Sng, yang berhasrat untuk bertanding di kerusi itu, meninggalkan parti.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengumumkan 29 calon dengan baki seorang lagi calon akan diumumkan menjelang Sabtu.

Mordi Anak Bimol dipilih untuk bertanding di Tasik Biru.
Ketika ditanya sama ada perbincangan selanjutnya akan diadakan dengan PKR mengenai pengagihan kerusi, Chong menjawab "Tidak."

Beliau berkata DAP negeri itu berpegang kepada persetujuan mengenai pengagihan kerusi antara kepimpinan kebangsaan kedua-dua parti.

"Saya berharap PKR akan menghormati perjanjian dan tidak mengubahnhya.Jika tidak, pengundi tidak akan mempunyai keyakinan kepada parti," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR negeri Baru Bian berkata beliau setakat ini belum mengumumkan nama calon parti.

"Masih ada beberapa hari lagi sebelum hari penamaan calon. Kami ingin mengelakkan pertindihan kerusi," katanya.

Pada 2011, PKR menurunkan John Tenewi Nuek dalam pertandingan tiga penjuru dengan BN dan SNAP.

Datuk Peter Nansian mengekalkan kerusi itu untuk BN dengan majoriti 2,072 undi.

PRN Sarawak, DAP-PKR, Boniface Willy

Artikel Lain