suria

PKR Berkeras, Tolak Tawaran DAP Gugur Batu Kitang

Dr Xavier (kanan) pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR yang diadakan pagi Rabu.

KUCHING: Perbalahan berhubung perebutan kerusi antara dua sekutu pembangkang makin berlarutan apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkeras menolak 'pelan damai' yang dicadangkan DAP.

Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, parti itu tidak akan menarik balik pencalonan wakil mereka untuk bertanding di kerusi kontroversi - Batu Kitang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 7 Mei depan.

"Tawaran pertukaran satu kepada lima menunjukkan DAP tidak serius di Batu Kitang.

"Jika dibandingkan dengan calon DAP yang dicalonkan pada saat-saat akhir, calon PKR di Batu Kitang, Voon Shiak Ni telah bekerja di kawasan berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR di sini, Rabu.

Pada Selasa, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, satu-satunya jalan tengah yang boleh dicapai pada ketika ini ialah persetujuan PKR untuk menarik balik lima calonnya walaupun nama-nama mereka telah berada di kertas undi.

Kerusi Batu Kitang menyaksikan pertandingan lima penjuru antara wakin Barisan Nasional (BN), DAP, PKR dan dua calon Bebas.


Batu Kitang, PKR, DAP, Sarawak

Artikel Lain