PETALING JAYA: Malam kemuncak Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) pada Sabtu lalu berlangsung penuh meriah dan berjaya dengan kerjasama syarikat kosmetik Dnars sebagai penaja utama. Bertemakan Glam Digital, majlis anugerah yang julung kali diadakan anjuran mStar Online dan Suria FM itu dihebatkan Faziani Rohban Ahmad selaku pengasas produk kecantikan itu yang hadir bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal. Anggun menyarungkan busana rekaan Rizman Ruzaini, pemilihan warna hitam dan ungu menepati tema dan penampilan Faziani yang mencuri tumpuan ramai bermula dari karpet ungu sehingga ke pentas APO2016. Suami Faziani iaitu Ahmad Shah Rizal turut berpenampilan segak dan bergaya dengan rekaan Rizman Ruzaini menggunakan rona warna yang sedondon, mempamerkan sisi pasangan sehati sejiwa. Usahawan terkemuka dalam industri kecantikan ini berani merealisasikan APO2016 sebagai sebuah majlis anugerah yang dinanti-nantikan dalam menghargai personaliti pelbagai bidang menerusi platform digital termasuklah hiburan dan sukan. Faziani (kanan) bersama suaminya, Ahmad Shah Rizal. Menurut Faziani, beliau menyifatkan penajaan itu seiring dengan kehendak pasaran semasa yang kebanyakannya menerusi medium dalam talian. “Saya amat berpuas hati dengan penganjuran Anugerah Pilihan Online 2016 yang berlangsung begitu meriah walaupun buat pertama kali. “Semuanya dijayakan dengan kombinasi persembahan dan konsep yang diketengahkan dalam APO2016 berbanding anugerah-anugerah lain. “Gemilangnya acara ini juga sudah tentu dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja utama yang kini semakin kukuh di pasaran kecantikan,” kata Faziani. Keberanian wanita cekal ini ternyata membuahkan hasil apabila nama Dnars yang selama ini dikenali semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Khalayak bukan sahaja mula mendapatkan produk keluaran Dnars menerusi Dnars Skincare, bahkan Faziani sudah mempunyai kelompok peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan dan menyokong perjalanannya sebagai usahawan berjaya. Impaknya sudah tentu menyuntik semangat buat Faziani yang merencanakan empayarnya menerusi pengembangan pasaran tempatan dan antarabangsa. Ikuti temuramah mStar Online bersama Faziani dalam bentuk video sebagai penaja utama APO2016 mengenai anugerah yang menjadi ‘trending’ di media sosial pada malam acara dan terus menjadi bualan ramai.