suria

15 Ketua, Dalang Ditahan Dalam Ops Cantas Khas Tonto - Liow

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) menyaksikan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad (kiri) bersalam dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohmad Salleh tanda kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara JPJ dengan PDRM dalam Ops Cantas Khas Tonto pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya, Selasa.

PUTRAJAYA:Lima belas individu dipercayai dalang dan ketua sindiket terancang tonto ditahan dalam Ops Cantas Khas Tonto yang dijalankan sejak 26 April lepas.

Kejayaan tersebut merupakan hasil perancangan dan risikan selama tiga bulan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) antara Pasukan Tindakan Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Kongsi Gelap (D7) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kesemua yang ditahan dipercayai berperanan melindungi dan memberi maklumat kepada pengusaha lori yang melakukan kesalahan membawa lebih muatan dan muatan berbahaya daripada ditahan pihak berkuasa.

"Siasatan mendapati jenayah yang dilakukan tonto terbabit ialah merosakkan kenderaan awam, membuli, menyerang, mengugut serta cubaan memberi suapan kepada anggota yang menjalankan tugas penguatkuasaan.

"Sebanyak 13 kenderaan yang digunakan tonto turut disita manakala mereka yang ditahan akan diambil tindakan dan didakwa di bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA)," katanya pada sidang media Ops Cantas Khas Tonto bersama JPJ dan PDRM di sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh.

Tiong Lai berkata, membanteras aktiviti tonto merupakan antara keutamaan kementerian itu tahun ini kerana selain sedia melakukan jenayah demi melindungi pengusaha lori yang melanggar peraturan jalan raya, sindiket itu juga mengundang ancaman kepada nyawa anggota penguat kuasa.

Beliau berkata sindiket tonto turut menyebabkan kerugian kepada negara daripada aspek ketirisan hasil cukai seperti cukai jalan sehingga RM12 juta setahun manakala Jabatan Kerja Raya memperuntukkan RM100 juta setahun bagi membaik pulih kerosakan jalan disebabkan kenderaan yang membawa lebih muatan.

"Kejayaan operasi ini memberi mesej jelas kepada pengusaha lori mengenai usaha yang dijalankan pihak berkuasa, manakala penahanan dalang tersebut membolehkan siasatan lebih mendalam dilakukan dalam mengenal pasti sama ada pegawai kerajaan terlibat di dalam sindiket tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Mohmad berkata walaupun mencabar, operasi tersebut memberi petanda positif bahawa kerjasama PDRM dan JPJ boleh mendatangkan kejayaan dalam usaha kerajaan mengambil tindakan dan membanteras kegiatan tonto.

Beliau berkata operasi permulaan itu yang hanya menumpukan kegiatan tonto di sekitar Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Perak turut membawa kepada rampasan 13 telefon bimbit, 13 walkie talkie dan tiga buah lori yang membawa muatan pasir,  batu bata dan besi untuk kerja-kerja pembinaan.

Ditanya sama kegiatan tonto didalangi kumpulan kongsi gelap, Mohmad berkata perkara itu belum dapat dipastikan tetapi siasatan awal mendapati sebahagian tonto merupakan anggota kongsi gelap terutamanya di peringkat pelaksana.

"Ia bukan tugas mudah buat PDRM, JPJ tetapi saya yakin dengan kemampuan dari segi logistik serta kebolehan anggota dan pegawai, kerjasama berterusan ini akan dapat menyelesaikan masalah berkaitan tonto," katanya, menambah pihaknya sedang memburu enam lagi individu bagi membantu siasatan kes itu.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain