PETALING JAYA: "Wow, ia cukup hebat" itulah reaksi pengasas produk kecantikan Dnars, Faziani Rohban Ahmad, penaja utama bagi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) mengenai majlis anugerah tersebut yang diadakan pada Sabtu lalu. Malam kemuncak APO2016 pada Sabtu lalu berlangsung penuh meriah dan jayanya selepas julung kali diadakan menerusi anjuran bersama mStar Online dan Suria FM dengan kerjasama syarikat kosmetik itu. Kejayaan itu ternyata memuaskan hati usahawan terkemuka dalam industri kecantikan ini yang mempunyai hasrat untuk kembali menaja Anugerah Pilihan Online pada tahun depan. Faziani berkata, anugerah tersebut merupakan sesuatu yang baharu dan segar kerana kategori yang dipertandingkan bukan sahaja mengenai hiburan tetapi turut mengetengahkan personaliti dari pelbagai bidang. Faziani. "Walaupun APO2016 ini adalah kali pertama, tetapi wow, ia cukup hebat. "Kita mahu menjadi yang pertama menaja APO2016 dan jika ia lebih baik pada tahun depan, kita akan bersama lagi," katanya selepas malam kemuncak APO2016 melabuhkan tirai. Usahawan terkemuka dalam industri kecantikan ini berani merealisasikan APO2016 sebagai sebuah majlis anugerah yang dinanti-nantikan dalam menghargai personaliti pelbagai bidang menerusi platform digital termasuk hiburan dan sukan. Menurut Faziani, beliau menyifatkan penajaan itu seiring dengan kehendak pasaran semasa yang kebanyakannya menerusi medium dalam talian. "Pada Dnars, kami memilih APO 2016 kerana anugerahnya pilihan online. Kalau tahun depan, kita boleh ke arah yang lebih baik," katanya. Bertemakan Glam Digital, majlis anugerah ini membariskan 18 kategori, terdiri daripada sembilan kategori hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup serta kategori utama Personaliti Terunggul.