suria

Empat Ditahan Berhubung Penemuan Bom Di Damansara Perdana

Datuk Mohd Adnan Abdullah (tengah) bersama barang-barang yang dirampas daripada suspek kes-kes samun, pecah rumah, culik dan membuat bom pada sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam, Isnin. Foto Bernama

SHAH ALAM: Polis menahan empat individu, dua daripadanya wanita, dalam serbuan di Ampang dekat sini Sabtu lepas, disyaki mempunyai kaitan dengan penemuan bom di Damansara Perdana. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, empat suspek yang berumur lingkungan 31 hingga 40 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri kira-kira pukul 1.00 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis BMW yang menggunakan nombor pendaftaran palsu serta beberapa peralatan pecah rumah termasuk tracker dan gps mobile," katanya dalam satu sidang media di sini, Isnin.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan itu menggunakan bom untuk melakukan kegiatan jenayah termasuk pecah rumah dan pinjaman wang haram.

"Bagaimanapun kita masih menyiasat sejauh mana mereka menggunakan bom buatan sendiri ini dalam kegiatan jenayah mereka. 

"Kesemua suspek kini direman sehingga esok untuk disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957," katanya. 

Dalam kejadian 17 April lepas, lebih 200 penduduk kondominium di Damansara Perdana gempar apabila dimaklumkan penemuan tujuh bom tangan dalam sebuah unit kediaman itu kira-kira 4.30 pagi.

Selain bom, polis turut menemui alatan elektronik, dadah yang disyaki syabu seberat dua kilogram dan sejumlah pil Eramin 5. - Bernama

Artikel Lain