suria

Habiskan Usia Di Rumah Jagaan, Enggan Susahkan Keluarga

Hamidah Nok.

IPOH: Walaupun bersusah payah membesarkan anak-anak, ada ibu bapa yang memilih menghabiskan sisa hayat mereka di rumah jagaan kerana enggan menyusahkan anak mereka.

Itu yang dilakukan Hamidah Nok, 74, yang menjadi penghuni Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita), Jalan Lahad di sini sejak lebih setahun lalu.

Hamidah berkata menjadi penghuni Pekita merupakan pilihannya sendiri kerana enggan menjadi beban kepada keluarga terutama anak-anak yang mempunyai kerja serta kehidupan masing-masing.

Menurut Hamidah, sebagai seorang ibu, beliau tidak sesekali berkecil hati terhadap anak-anaknya yang sibuk dengan komitmen masing-masing, sebaliknya terus mendoakan kejayaan mereka kerana ia adalah kegembiraannya.

"Anak saya selalu datang, ajak balik tapi saya tak nak sebab faham mereka sibuk, susah nak jaga saya. Lagipun di sini ramai kawan," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini sempena sambutan Hari Ibu pada Ahad.

Walaupun diserang angin ahmar hingga menyebabkan bahagian kiri tubuhnya lumpuh, selain ingatan yang kian terjejas, kenangan bersama keluarga tidak pernah luput.

Sementara itu, Nik Zaidah Mohd Aruf, 88, berkata beliau memilih tinggal di Pekita kerana enggan menyusahkan menantu selepas anak tunggalnya terlantar akibat serangan angin ahmar.

Menurut Nik Zaidah yang berasal dari Lambor, Kuala Kangsar, menantunya telah beberapa kali memujuknya tinggal bersama di Kuala Lumpur, namun menolaknya kerana selesa di Pekita.

"Makcik enggan susahkan menantu yang dah berumur 67 tahun sebab dia juga tak larat. Tapi makcik seronok terutama bila Hari Raya semua enam cucu, tiga cicit, anak dan menantu datang," katanya.

Bagaimanapun, nasib berbeza buat seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Mah, 64, yang menjadi penghuni Pekita selepas diabaikan anak-anaknya.

Kak Mah yang bisu sejak dilahirkan dihantar ke Pekita kira-kira enam bulan lalu oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan kisahnya diceritakan kepada Bernama oleh kakitangan Pekita, Zurina Alias.

"Saya difahamkan sewaktu beliau tinggal bersama seorang anaknya di Manjoi, beliau terpaksa mengetuk tingkap rumah untuk meminta makanan.

"Dia pernah ketuk tingkap sampai pecah semata-mata untuk minta makanan. Kadang-kadang jiran yang tak tahan mendengar dan berasa kasihan datang memberi makanan," kata Zurina yang menambah Kak Mah mempunyai dua anak lelaki.

Sementara itu, Pengerusi Pekita Ahmad Wan Chik berkata rumah kebajikan yang ditubuhkan bersama isterinya sejak lima tahun lalu kini menjaga 25 warga emas termasuk 19 penghuni tetap.

"Penghuni tetap itu adalah mereka yang ditinggalkan waris atas pelbagai sebab. Selain itu, ada juga yang ditinggalkan sementara misalnya kalau anak mereka ada kerja luar.

Ahmad turut menasihatkan anak-anak yang masih mempunyai ibu bapa supaya menghargai kedua-duanya.

"Mereka sanggup susah payah jaga kita semasa kecil. Cuba bayangkan kalau kita tua nanti, adakah kita mahu habiskan sisa usia bersama kawan-kawan atau bersama ahli keluarga?," tanyanya. - BERNAMA


Hamidah Nok, Pekita, Hari Ibu

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan