suria

Muktamar: PAS Pusat Sedia Kaji Agihan Kerusi PRU-14

Tuan Ibrahim berucap pada majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-57 di Kota Baru pada Selasa. foto FAIHAN GHANI/The Star.

KOTA BARU: PAS Pusat akan mengkaji cadangan yang dikemukakan Ketua Pemudanya, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai agihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan ia sebagai cadangan positif selain mahu menghentikan kemelut yang melanda pakatan pembangkang.

"PAS Pusat akan mengkaji cadangan tersebut. InsyaAllah kita akan teliti bersama-sama rakan kita, PKR.

"Ia satu cadangan positif, baik untuk melihat kemenangan bagi rakyat. Yang penting kemelut yang ada ini dapat dihentikan," katanya pada sidang media selepas perasmian Muktamar Pemuda Pas ke-57 di sini, Selasa.

Terdahulu, Nik Abduh ketika menyampaikan ucaptama pada Muktamar Dewan Pemuda berkata, pembahagian kerusi wajar mengambil kira aspek kekuatan jentera parti di kerusi yang ditandingi nanti.

Katanya, ia termasuk pola sokongan pengundi mengikut komposisi umur dan tahap pendidikan.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran di mana tenaga ahli kita yang ikhlas dan patuh pada arahan pimpinan 'dipergunakan' oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian 'ditinggalkan' begitu sahaja.

"Justeru, sekiranya pimpinan parti mengambil satu langkah berani untuk bertanding di kerusi yang selama ini 'dipinjamkan' kepada PKR dan DAP dalam PRU lepas, kami Pemuda PAS berikrar dan berjanji akan mengambil 1,001 langkah bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS, InsyaAllah," katanya.

PAS, PRU-14, agihan kerusi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain