KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Persendirian yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 adalah 'tidak Islamik', dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad. "Mereka cuba untuk melakukan sesuatu yang tidak adil dengan memotong tangan seorang Muslim apabila orang bukan Islam hanya dipenjara dua bulan. "Apa yang mereka cadangkan adalah tidak Islamik," kata Dr Mahathir selepas pelancaran Tabung Bencana Perang Yayasan Keamanan Global Perdana. Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan usul untuk mempercepatkan pembentangan RUU berkenaan di Parlimen bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Walau bagaimanapun, Hadi meminta Rang Undang-undang itu dibahaskan pada mesyuarat yang akan datang.