suria

Sabotaj MyIMMs: Lima Pegawai Imigresen Ditahan

KUALA LUMPUR: Lima pegawai Jabatan Imigresen ditahan polis semalam kerana disyaki mensabotaj pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kesemua mereka ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang bagi membantu siasatan.

Beliau berkata operasi untuk mengesan mereka yang terlibat dalam kegiatan mensabotaj sistem myIMMs akan diteruskan.

"Polis juga ada merampas beberapa barang mereka antaranya dokumen  dan siasatan akan diteruskan," katanya yang enggan mengulas lanjut perkara itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini, Khamis.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata kira-kira 100 orang termasuk pegawai Jabatan Imigresen dan anggota sindiket disiasat pihak berkuasa kerana disyaki terlibat dalam mensabotaj sistem myIMMs.

Katanya risikan PDRM dan Jabatan Imigresen mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti mensabotaj sistem berkenaan kira-kira enam bulan hingga dua tahun dengan membocorkan data termasuk menggunakan nombor kod tertentu untuk disalah guna.

Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 1 menyatakan myIMMs yang dibangunkan bagi menyokong operasi utama Jabatan Imigresen kurang memuaskan dan menyebabkan objektifnya terjejas. - BERNAMA

sabotaj, myIMMS, PDRM

Artikel Lain