SEKINCHAN: Masyarakat di negara ini dinasihatkan supaya tidak terlalu yakin bahawa kepimpinan lain boleh membawa keamanan berterusan seperti mana yang dikecapi rakyat hari ini. Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, rekod kerajaan masa kini menunjukkan BN mempunyai formula keamanan untuk Malaysia. "Formula Malaysia aman adalah kerana BN. Kita pertaruhkan rekod dari 1957 sehingga sekarang untuk dihakimi oleh tuan-tuan. "Jangan terlalu yakin, bukan semua kerajaan mampu jaga keamanan negara inj," katanya ketika berucap pada Program Kempen Kebakaran Bersama Komuniti di Balai Bomba dan Penyelamat di sini, Jumaat. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, adalah tidak mudah untuk mengekalkan keamanan dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini. "Keamanan tak datang bergolek begitu saja. Ada orang kata, kita undi siapa sahaja negara akan aman damai. "Jika orang lain yang jadi kerajaan, belum tentu kita akan kecapi keamanan seperti sekarang," katanya. Beliau memberi contoh terdekat pergolakan di negara-negara jiran yang berlaku disebabkan perang etnik dan agama. "Mereka juga ada pilihan raya, ada presiden, ada kerajaan tetapi kenapa mereka tak aman? "Tetapi Malaysia sebuah negara kecil yang berbilang kaum yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan mampu menjaga keamanannya," katanya. Sementara itu, pada sidang media, Abdul Rahman mengulas mengenai kedudukan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar. Katanya melihat situasi di Sungai Besar dan pandangan pengundi, beliau yakin calon BN, Budiman Mohd Zohdi mampu mempertahankan kerusi yang disandang parti itu. "Pendekatan dan pembawaan sederhananya menjadi sesuatu yang diminati penduduk di sini. "Langkah kecil kita pada PRK ini akan membawa kita kepada langkah lebih besar untuk kita menang pilihan raya umum ke-14," katanya.