KUALA KANGSAR: Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) di sini dinaik taraf serta merta dan kini ia akan dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah menaik taraf KUISAS menjadi sebuah universiti penuh adalah janji yang dibuat oleh Barisan (BN) semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.
"Bagi merealisasikan komitmen kerajaan BN Perak yang dijanjikan semasa pilihan raya umum ke-13 untuk menaik taraf status KUISAS sebagai universiti penuh di Kuala Kangsar, saya gembira untuk mengumumkan bahawa KUISAS telah diberikan status universiti penuh dengan geran kerajaan persekutuan berkuatkuasa serta-merta," kata Najib ketika lawatannya ke kampus USAS pada Jumaat.
KUISAS ditubuhkan pada 1999 dan kini USAS mempunyai 4,000 pelajar dan 200 tenaga pengajar.
Selain Kolej Melayu Kuala Kangsar, institusi pendidikan lain yang terkenal di bandar ini termasuk SMK Clifford dan Madarasah Idrisiah.