suria

Polis Tahan Ejen Judi Bola Paya Terubong

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai berperanan sebagai ejen kutipan wang pertaruhan bola sepak Piala Euro di sebuah kedai makan di Paya Terubong di sini, pada malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid (gambar) berkata polis yang sedang menjalankan pemantauan aktiviti perjudian bola sepak Piala Euro 2016 di premis terbabit menahan lelaki berusia 49 tahun itu kira-kira 10 malam.

"Bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menjalankan operasi dan menyerbu kedai makan itu sebelum mendapati terdapat seorang lelaki dipercayai pelanggan di situ dalam keadaan mencurigakan.

"Polis menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai menjadi ejen membuat kutipan wang bagi sindiket pertaruhan judi bola sepak dalam talian," katanya di sini, Ahad.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki itu membuat kutipan antara RM5,000 hingga RM50,000 bagi setiap perlawanan bola sepak.

"Berdasarkan siasatan polis, setiap pertaruhan oleh kaki judi dibuat menerusi laman web dan lelaki yang ditahan itu akan mengutip wang daripada mereka," katanya.

Mior Faridalatrash berkata, polis turut merampas pelbagai telefon bimbit, kertas catatan dan sejumlah wang tunai dipercayai digunakan dalam aktiviti perjudian berkenaan.

Polis kini sedang mengesan beberapa lagi individu dipercayai rangkaian sindiket lelaki itu untuk siasatan lanjut, katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Sementara itu, di ALOR SETAR polis menahan 16 individu berumur antara 18 hingga 50 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi termasuk dua penjaga premis perjudian dalam dua serbuan berasingan sempena Op Dadu di sekitar Kulim, awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mohd Nashir Ya berkata bertindak hasil risikan, sepasukan polis menyerbu dua premis perjudian di Taman Lagenda dan Taman Mahsuri di sini dalam operasi pada 1 dan 1.45 pagi itu.

"Dalam serbuan pertama di Taman Lagenda pada pukul 1 pagi, 10 pelanggan dan seorang penjaga premis ditahan selain merampas 10 set komputer. Serbuan kedua di Taman Mahsuri pula seramai empat pelanggan dan seorang penjaga premis ditahan,: katanya dalam kenyataan di sini.

Polis turut merampas enam set komputer dan satu set alat mesin memasukkan kredit point serta pelbagai wang tunai berjumlah hampir RM600.

Artikel Lain