suria

Kemenangan Besar BN Di Sungai Besar Langkah Rampas Semula Selangor

Noh Omar.

SUNGAI BESAR: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dilihat lonjakan untuk memantapkan lagi aturan langkah bagi mengembalikan Selangor kepada parti itu.

Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata kemenangan itu juga dilihat sebagai 'seruan' supaya jentera BN Selangor terus mengatur langkah lebih padu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kemenangan ini adalah satu kebanggaan kepada kita di Selangor namun tugas yang paling penting kepada kita adalah gerak kerja menuju PRU-14.

"Saya lihat strategi dan cara kita bekerja di sini boleh dikembangkan ke seluruh Selangor untuk mengembalikan semula negeri ini kepada BN," katanya kepada pemberita, di sini malam Sabtu.

Beliau berkata bantuan daripada semua jentera BN negeri, pemimpin pusat serta parti-parti komponen amat dihargai dan ia sekali gus menunjukkan keyakinan rakyat yang masih tinggi terhadap pentadbiran negara.

Dalam pada itu, Ketua Wanita BN Selangor, Datin Nor Hayati Onn berkata kemenangan BN ibarat membela maruah parti itu yang tercalar setelah tewas kepada pembangkang sejak dua penggal lepas.

Katanya, segala penat lelah sepanjang PRK itu berbaloi malah meniupkan semangat baharu dalam sanubari setiap anggota Umno Selangor untuk bersiap siaga merampas semula negeri termaju itu daripada pembangkang.

Beliau berkata solidariti, perpaduan dan kesepaduan gerak kerja jentera memperlihatkan kesungguhan anggota Umno Selangor dalam mengembalikan keyakinan rakyat negeri itu.

"Setelah kita kalah pada PRU sebelum ini, ia amat memberi kesan mendalam namun kita cuba dapatkan balik semangat itu menerusi PRK ini.

"Kemenangan besar BN tidak disangka dan ia bukti peningkatan kerja yang tidak pernah henti kita lakukan, ditambah kerjasama yang padu parti komponen serta sayap membuahkan hasil yang terbaik," katanya.

Menurut beliau, kegigihan jentera Wanita menyantuni pengundi golongan itu amat dipuji memandangkan mereka sanggup melalui bulan Ramadan dengan meninggalkan keluarga buat sementara demi kelestarian BN.

Calon BN, Budiman Mohd Zohdi memenangi PRK Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi selepas menewaskan calon Amanah, Azhar Ab Shukur (7,609 undi) dan calon PAS Dr Abdul Rani Osman (6,902). - BERNAMA


PRK Sungai Besar, BN, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain