suria

Tunggakan Gaji Eaglexpress Gagal Dibayar Pada Waktu Dijanjikan

PETALING JAYA: Kira-kira 300 kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd (Eaglexpress) menyuarakan kekecewaan mereka di atas kegagalan syarikat penerbangan itu untuk melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan pada 27 Jun (Isnin) seperti yang dijanjikan.

Memo yang dikeluarkan pihak pengurusan kepada semua kakitangan pada 23 Jun lalu (gambar bawah) mengenai masalah tunggakan gaji akan diselesaikan nampaknya hanya janji tinggal janji.

Beberapa kakitangan Eaglexpress memberitahu mStar Online bahawa mereka masih tidak menerima gaji seperti yang dijanjikan sehingga pagi Selasa.

"Kami dah periksa akaun bank, dari pagi sampai ke malam. Rakan-rakan lain pun ada periksa, tapi gaji masih belum masuk," kata seorang pekerja yang enggan dikenali.

Seorang lagi kakitangan berkata, memo mengenai gaji sepatutnya menjadi berita gembira terpaksa dilupakan selepas tunggakan tersebut masih belum dijelaskan.

"Sedihlah. Ingatkan dapat pada Isnin seperti yang diberitahu dalam memo. Tapi sampai ke malam, gaji masih tak masuk lagi," katanya.

Menurut seorang pekerja, diharapkan syarikat mengotakan janji seperti yang dinyatakan dalam memo berikutan Aidilfitri hanya beberapa hari sahaja lagi, kerana memerlukan perbelanjaan untuk persiapan perayaan itu.

"Harap diberikan secepat mungkin. Ini baru. Mohon kasihankan kebanyakan kami hendak berhari raya" katanya.

Difahamkan, kira-kira 95 peratus kakitangan Eaglexpress beragama Islam.

Khamis lalu, pihak pengurusan Eaglexpress menghantar memo mengenai tunggakan gaji selama dua bulan iaitu April dan Mei akan dimasukkan ke dalam akaun pekerja masing-masing pada 27 Jun (Isnin).

Sementara itu, jurucakap Eaglexpress ketika dihubungi mStar Online pada Selasa mengesahkan tunggakan gaji tersebut tidak dibayar kepada pekerja pada Isnin, sebagaimana yang dinyatakan dalam memo.

Bagaimanapun jurucakap itu menegaskan bahawa kegagalan tersebut bukan disebabkan syarikat tidak mempunyai dana untuk membuat bayaran, tetapi kerana masalah teknikal membabitkan proses pembayaran dengan pihak bank.

"Kita ada wang untuk bayar dan sudah pun diperuntukkan bagi bayaran tunggakan gaji tetapi ada masalah untuk proses 'clearance' dengan bank.

"Perkara ini dalam proses. Ia akan diberikan kepada pekerja pada minggu ini... ya, pada minggu ini," ujarnya kepada mStar Online.

Sehubungan itu jurucakap Eaglexpress meminta semua kakitangan bersabar dalam mendapatkan tunggakan gaji masing-masing dalam waktu terdekat.

"Kami memohon maaf di atas kelewatan ini. Kami berharap semua pekerja dapat bersabar. Gaji akan dimasukkan pada minggu ini," katanya.

Terdahulu, pada Isnin, mStar Online mendedahkan sebuah syarikat penerbangan carter gagal membayar gaji pekerjanya termasuk tidak membuat caruman KWSP dan Perkeso.

Eaglexpress kemudiannya tampil mengakui tunggakan berlaku disebabkan syarikat itu mengalami masalah kewangan selama beberapa bulan sejak Februari lalu, tetapi masih membuat 'sebahagian bayaran kepada sebahagian pekerja'.

Eaglexpress merupakan syarikat penerbangan carter yang berpangkalan di Kuala Lumpur bagi perkhidmatan umrah dan haji sejak 2012. Antara penerbangannya ke Arab Saudi adalah dari Malaysia, Indonesia, Afrika Utara dan Timur Tengah.

Eaglexpress

Artikel Lain