KUALA TERENGGANU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita lebih 100 kenderaan klon dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata rampasan bermula Januari hingga Jun itu melibatkan kerugian dalam bentuk cukai, kira-kira RM8 juta. Katanya daripada jumlah tersebut 34 kenderaan direkodkan di Terengganu dengan melibatkan cukai kira-kira RM1.7 juta dalam tempoh yang sama dan daerah Kemaman mencatatkan rampasan tertinggi. "Kebanyakan kereta klon yang dikesan ini dibawa masuk dari Singapura dengan harga yang rendah ditawarkan menyebabkan orang ramai terpengaruh dengan sindiket ini. "Contohnya harga pasaran sebuah Toyota Wish bernilai RM60,000 namun sindiket ini mampu menawarkan RM15,000 untuk memiliki kereta mewah ini," katanya kepada pemberita di sini, malam Isnin. Khazali berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan faktor harga yang murah menjadikan ia mendapat permintaan tinggi malah ada di kalangan kakitangan kerajaan turut terpedaya hanya semata-mata mahu memiliki kereta mewah. "Kami sedang menjalankan risikan dan kajian kenapa kenderaan klon ini banyak dibawa masuk di sekitar Terengganu dan Kelantan...mungkin mereka beranggapan Terengganu ini jauh dari ibu pejabat jadi kawalan tidak ketat seperti negeri lain," katanya. Susulan itu, pihaknya akan terus mempertingkat kawalan dan risikan bagi membanteras kegiatan itu terus berleluasa. Beliau berkata sejak 2014 hingga 2016 kastam Terengganu merampas 94 kereta klon dari Singapura melibatkan cukai RM5.7 juta. - BERNAMA