Beliau berkata projek di bawah kendalian PAAB itu kini sudah 50 peratus siap dan fasa pemasangan paip sepanjang 42 kilometer dijangka dapat dijalankan mengikut masa yang ditetapkan.
"Kemajuan projek ini amat baik setelah penstrukturan semula dibuat dan mungkin hanya sedikit masalah akan dihadapi ketika proses pemasangan paip yang akan dilakukan di jalan raya dan di kawasan perumahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAAB di sini Selasa.
Pada 1 April lepas, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahkan bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atas kelewatan projek Langat 2 kerana didakwa bertanggungjawab dalam penjualan tanah bagi membangunkan kemudahan enap cemar kepada pihak ketiga.
Selain itu, Ahmad Faizal berkata pelbagai projek pembangunan rakyat di Selangor juga akan dapat diteruskan apabila projek Langat 2 ini siap kelak.
"Sebelum ini banyak projek baharu kerajaan terpaksa dihentikan dahulu kerana Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak boleh bekalkan air ke kawasan tersebut," katanya.
Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Faizal menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 anak yatim dari Teratak Nur Barakah.