KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Rabu menetapkan 26 Julai untuk mendengar permohonan habeas corpus (penahanan secara salah), Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) Datuk R. Sri Sanjeevan bagi mencabar perintah tahanan reman 21 hari terhadapnya mengikut Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA). Timbalan Pendaftar Aizatul Akmal Maharani menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya. Pada 11 Julai, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Sanjeevan selama 21 hari dari 11 Julai hingga 31 Julai. Mahkamah Tinggi pada 14 Julai, menolak permohonan Sanjeevan untuk mencabar perintah tahanan reman 21 hari itu. Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam surat yang diberi kepada Tetuan Gobind Singh Deo and Co menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi mendapati tiada ketidakaturan/kekhilafan oleh majistret dalam membenarkan perintah tahanan reman mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah itu. Pada 15 Julai, Gobind Singh memfailkan permohonan habeas corpus bagi mencabar perintah penahanan reman itu yang didakwa tidak mengikut undang-undang. Semalam, Sanjeevan, 32, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majisret di Seremban atas dua pertuduhan iaitu menggajikan pekerja asing tanpa pas yang sah dan melakukan pemerasan. Di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa dengan sengaja mengambil seorang pekerja warga asing, M. Manivannan yang tidak memiliki suatu pas yang sah di kawasan Plaza Tol Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Nilai, pukul 10.45 malam, 22 Jun lepas. Dia didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua di Mahkamah Majistret, Sanjeevan didakwa dengan sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Goh Toh Hon, 38, di tempat, tarikh dan waktu sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, jika sabit kesalahan.