LABUAN: Kegembiraan tiga murid sekolah bermain "mendayung bot" bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas selepas bot itu terbalik di pantai Kerupang dekat Taman Arena, Kg Kerupang di sini, Jumaat. Mayat mangsa dikenal pasti sebagai Aiman Ashraf Rashid, 11, murid tahun lima, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat tidak jauh dari Pulau Papan pada kira-kira 7.39 pagi ini. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan Zainal Madasin berkata bot itu terbalik pada kira-kira 3.30 petang semasa mangsa, anak penjawat awam, bermain mendayung bot dengan dua rakannya di pantai tidak jauh dari rumah mereka. Bagaimanapun bot itu terbalik dan tenggelam apabila dipukul ombak manakala budak lelaki itu dihanyutkan arus. Dua rakannya berjaya menyelamatkan diri dan segera memaklumkan kepada ibu mangsa, katanya. Zainal berkata panggilan kecemasan diterima pada kira-kira 3.56 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu anggota polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam , penduduk kampung dan anggota keluarga telah dilancarkan.-- Bernama