suria

Semak Status Akreditasi MQA, Elak Penipuan Diploma, Ijazah Palsu

KUALA LUMPUR: Majikan di negara ini dinasihat merujuk  dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi menyemak status sijil calon yang memohon pekerjaan bagi mengelak penipuan diploma dan ijazah palsu yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata kaedah itu bertujuan mengenal pasti sama ada institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut diakreditasikan MQA dari segi kualiti dan kesetaraan.

"Jangan mengambil pekerja dengan mudah. Setiap agensi pekerjaan atau majikan perlu semak dahulu dengan MQA sama ada IPT tersebut wujud atau tidak.

"Mereka juga perlu semak nama program bagi mengetahui ia ada ditawarkan di IPT terbabit sebagaimana dicatat pada diploma atau ijazah graduan yang mahu mencari pekerjaan," katanya.

Beliau mengulas laporan media mengenai pembelian diploma dan ijazah palsu yang mudah diperoleh secara dalam talian dan digunakan mereka yang terdesak bagi mendapatkan pekerjaan atau gaji lumayan.

Laporan itu memetik bahawa 9.6 juta carian di Google memaparkan kaedah pembelian sijil diploma dan ijazah palsu yang diperlukan.

Zaini berkata hanya program yang mematuhi standard kualiti dan kriteria ditetapkan sahaja akan diberikan Perakuan Akreditasi (status akreditasi) dan program berkenaan layak menggunakan perkataan 'Pengiktirafan Dari Malaysian Qualifications Agency' (MQA).

Beliau turut menasihatkan mana-mana agensi pekerjaan atau majikan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed percaya langkah kementerian bersama MQA itu merupakan jalan terbaik dalam menangani isu itu.

Beliau bagaimanapun menyarankan KPT dan MQA menyediakan suatu mekanisme baharu yang dapat membantu agensi pekerjaan atau majikan dalam mengenal pasti keaslian diploma dan ijazah dalam masa singkat bagi mengelak penipuan.

Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi Kolej Universiti Taylor's Dr Roslina Abdul Latif pula menyarankan KPT dan MQA mempertingkat lagi kaedah sedia ada dalam mengekang perkara tersebut.

"Perkara ini tidak mudah untuk dibanteras namun tidak semestinya mustahil jika kerajaan dan jabatan bertanggungjawab serius dalam menangani perkara ini," katanya. - BERNAMA

IPT, MQA, penipuan, diploma, ijazah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain