suria

Dakwaan Pemandu LRT Tertidur Ketika Bertugas Tidak Tepat - Rapid KL

KUALA LUMPUR: Rapid KL menafikan dakwaan kapten tren LRT Laluan Ampang-Sri Petaling yang dikatakan tertidur di panel pemandu tren berkenaan.

Ketua Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Lim Jin Aun, sebaliknya menjelaskan kapten itu hanya meletakkan kepalanya di atas panel untuk seketika.

"Kami dimaklumkan bahawa beliau berehat seketika semasa menunggu tren sampai ke stesen dan ia dalam perjalanan ke stesen dan beroperasi secara separuh automatik itu. Tuduhan yang dibuat oleh artikel berkenaan tidak tepat.

"Apapun, ia tetap menjadi satu kesalahan kerana semua Kapten Tren dikehendaki berada dalam siap sedia sepenuh masa dalam perjalanan," kata Jin Aun, yang bertindak sebagai jurucakap RapidKL dalam kenyataan berkenaan.

Kenyataan itu bagi menjelaskan satu artikel yang tersebar di laman sosial pada 3 Julai lepas berhubung tuduhan itu.

"Tindakan disiplin telah diambil terhadap kakitangan berkenaan dan surat amaran sudah dikeluarkan dan beliau digantung kerja untuk seminggu sejak semalam di samping diarah untuk mendapatkan kaunseling dan mengikuti kursus bimbingan teknikal serta mengikuti pembangunan diri," katanya. 

Jin Aun menegaskan keselamatan para penumpang adalah perkara terpenting dalam operasi rel dan bas kendalian RapidKL dan syarikat itu tidak akan berkompromi dalam memastikan standard kualiti kerja yang tinggi dalam kalangan staf dan kakitangannya.

"Rapid KL dan Prasarana tidak akan berkompromi dengan mana-mana staf dan kakitangan yang melanggar tata etika kerja ketika bertugas. Mereka adalah duta syarikat yang berada di barisan hadapan dengan pelanggan. Justeru itu mereka harus menjaga imej syarikat.

"Kami meletakkan penanda aras yang tinggi dalam memastikan semua warga kerja Rapid KL memiliki tahap modal insan yang tinggi dan berkualiti selaras dengan misi kami untuk menjadi penyelia pengangkutan awam bertaraf dunia", tambah Jin Aun. 

Katanya syarikat juga sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa bagi menjamin kualiti penyampaian dan servis kakitangan sentiasa terbaik.-- Bernama


Artikel Lain