suria

Tiada Perhimpunan Anti-Najib Di Dataran Merdeka

Acara 'Dragbattle' diadakan di Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR: Walaupun khabar angin penganjuran perhimpunan anti-Najib menjadi viral di media sosial, lokasi perhimpunan itu sebaliknya kelihatan tenang dan terkawal dengan orang ramai mendakwa tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.

Dataran Merdeka yang dijadualkan sebagai salah satu lokasi perhimpunan itu, digunakan untuk acara 'Dragbattle' sebuah acara sukan permotoran.

Salah seorang peserta 'Dragbattle' Ahmad Zack Syafie, 34, berkata dia dan rakan-rakannya ada terdengar khabar angin mengenai perhimpunan itu tetapi tidak fikir ia akan berlaku.

"Acara sukan kami dirancang sejak sekian lama. Saya tidak fikir perhimpunan itu akan diadakan. Malah jika ia berlaku, saya tidak fikir ia akan diadakan di sini," katanya.

Situasi di kawasan berdekatan seperti Masjid Jamek, Pasar Seni dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) juga lancar dengan ketiadaan kelibat orang ramai berkumpul secara berkumpulan.

Malah, kelibat polis juga tidak kelihatan selain anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas pada hujung minggu.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Zainol Samah menafikan khabar angin mengenai perhimpunan itu dan menegaskan ia bertujuan untuk mencetuskan huru-hara.

Satu lagi perhimpunan yang diketuai Ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos akan diadakan di Sogo pada pukul 4 petang Sabtu.

Perhimpunan itu dipercayai dilakukan sebagai tanda protes terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan semua tuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Lain